GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Hazwan Faisal Mohamad

Kuala Lumpur: Banyak pengedar kenderaan dijangka terpaksa menutup perniagaan jika tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh terdekat.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, pihaknya menerima banyak aduan, terutama daripada pengedar kecil mengatakan mereka tidak mampu lagi bertahan dari segi aliran tunai ketika ini.

Katanya, jika situasi semasa berlanjutan untuk tempoh sebulan lagi dan pengedar masih tidak dibenarkan beroperasi, banyak pengedar yang bakal menutup perniagaan dan memberhentikan pekerja mereka.

"Begitu juga dengan pengedar besar, mereka turut terjejas dan mungkin hanya boleh bertahan sehingga Oktober ini jika kerajaan masih menutup operasi sektor automotif.

"Ini termasuk mereka yang terbabit dalam jualan motosikal dan komponen serta alat ganti kereta.

"Kami beberapa kali merayu kepada kerajaan, menyuarakan kepentingan untuk membenarkan operasi pemasangan dan jualan diteruskan dengan prosedur lebih ketat, jika bukan 100 peratus kapasiti pun, 60 peratus sudah memadai," katanya pada taklimat media maya membentangkan prestasi sektor automotif negara bagi 1H21.

Sementara itu, mengenai masalah kekurangan cip yang sedang dihadapi ketika ini, Aishah berkata, banyak jenama terkesan dengan masalah ini dan ada yang mengalaminya dengan lebih teruk.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 8:29 AM