GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Sri Ayu Kartika Amri


Petaling Jaya: Industri automotif tempatan mencatatkan sejarah tersendiri apabila merekodkan jualan keseluruhan industri (TIV) sebanyak 720,658 bagi 2022, selepas dua tahun berturut-turut mengalami penurunan.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, pencapaian TIV itu adalah rekod tertinggi yang pernah dicapai dalam sejarah industri automotif tempatan.

Katanya, pencapaian bersejarah itu juga mengatasi sasaran MAA iaitu 630,000 unit yang ditetapkan Julai tahun lalu.

"TIV 2022 melepasi paras 700,000 unit buat kali pertama dalam sejarah walaupun dibayangi pelbagai cabaran seperti peralihan ke fasa endemik, dasar sifar Covid-19 China, pergolakan geopolitik Rusia-Ukraine, perang dagang Amerika Syarikat (AS) dan China serta isu rantaian bekalan.

"Di peringkat domestik pula, pasaran berdepan cabaran isu bekalan cip dan ketidaktentuan politik yang berakhir selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)," katanya pada sidang media pengumuman prestasi industri automotif 2022 di sini, hari ini.

Pencapaian TIV tahun lalu mengatasi rekod tertinggi yang pernah dicatatkan pada 2015 iaitu sebanyak 666,674 unit.

Aishah berkata, prestasi TIV itu turut didorong oleh keputusan pihak berkuasa memberi lanjutan pengecualian cukai jualan sejak 2021 sehingga 30 Jun 2022 dan kadar faedah yang lebih rendah pada 2021.

Menurutnya, 60 peratus daripada TIV 2022 juga disumbangkan oleh jualan kenderaan nasional, yang didominasi Perodua dan Proton, manakala segmen kenderaan penumpang (641,773 unit) dan komersial (78,885 unit) turut merekodkan jualan tertinggi tahun lalu.

Manakala bagi jumlah pengeluaran insdustri (TPV) pula, beliau berkata, kenderaan baru pada 2022 meningkat 220,624 unit naik 45.8 peratus kepada 702,275 unit berbanding 481,651 unit pada 2021.

Mengenai unjuran TIV bagi tahun ini, Aishah berkata, MAA menyasarkan TIV sebanyak 650,000 di mana suku pertama ini jualan tidak akan mengalami sebarang isu berikutan pengecualian cukai akan tamat pada Mac 2023, namun ia dijangka akan lebih perlahan berikutan tiada insentif yang akan diberikan untuk industri automotif tahun ini.

Selain itu, menurutnya tahun ini juga TIV lebih rendah bakal dicatatkan berbanding 2022 kerana pembelian kenderaan yang kebanyakannya dibuat pada tahun lalu serta jangkaan kadar faedah lebih tinggi bagi 2023 melebihi 2.75 peratus.

"Bagaimanapun, menerusi pengenalan banyak model kenderaan baru dengan dilengkapi teknologi terkini termasuk kenderaan elektrik (EV) pada harga berpatutan dan kompetitif, ia dijangka akan mengukuhkan minat membeli dalam kalangan konsumer.

"Namun, secara keseluruhannya industri akan terus berdepan dengan cabaran dan isu rantaian bekalan seperti cip semikonduktor, ketidakstabilan geopolitik dan kemungkinan peningkatan semula kes Covid-19 di seluruh dunia mungkin menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi negara dan seterusnya penjualan kenderaan baru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 4:51 PM