Lizam Ridzuan


Kuala Lumpur: Kenaikan harga barang dan alat ganti kenderaan dikatakan berpunca daripada masalah gangguan rantaian bekalan peringkat global.

Pengusaha bengkel membaiki kenderaan juga perlu menangani masalah kenaikan harga daripada pembekal alat ganti yang seterusnya memberi kesan kepada pelanggan.

Pengusaha bengkel Double S Garage, Aris Fauzee Ahmad, 44, berkata, seperti mana barangan keperluan dan runcit yang meningkat, tidak terkecuali alat ganti kenderaan.

"Terutama minyak enjin. Jika sebelum ini ia boleh didapati pada harga di bawah RM100 namun sejak awal tahun ini, ia dijual pada harga RM120 iaitu peningkatan 20 peratus.

"Apabila barangan daripada pembekal naik, maka sebagai pengusaha bengkel, kami juga perlu menaikkan sedikit kos upah minimum tambahan RM10 bagi mengimbangi kenaikan itu," katanya.

Di atas faktor itu, ramai pelanggan yang mengeluh namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana alatan atau minyak enjin perlu ditukar apabila tiba tempoh selenggara.

Namun untuk lebih kelegaan kepada pelanggan, Aris berkata, dia memberi pilihan barangan alat ganti daripada jenama lain pada harga yang lebih berpatutan namun dengan kualiti sama.

"Saya perlu mencari alternatif produk jenama lain yang menawarkan harga lebih menarik kepada pelanggan untuk memastikan mereka tidak terbeban.

"Malah saya juga akan mengesyorkan pilihan yang terbaik buat pelanggan mengikut bajet mereka bagi memastikan kereta diselenggara dengan baik," katanya.

Aris berkata, meskipun ada bengkel yang menawarkan harga lebih rendah namun pengguna perlu bijak membuat pilihan untuk memastikan ia produk berkualiti.


Pembekal tentukan harga

Kuala Lumpur: Kenaikan harga alat ganti kenderaan bukan saja disebabkan faktor global malah membabitkan penentuan harga oleh pembekal di negara ini.

Perkara itu disuarakan Presiden Persatuan Usahawan Automotif Prosper Malaysia Mohd Karim A Rahman.

Kata beliau, sememangnya kenaikan harga alat ganti disebabkan faktor global selain isu import negara pengeluar selepas pandemik Covid-19.

"Harga tayar dan minyak enjin sudah merekodkan kenaikan sebanyak tiga kali tahun ini sekitar lima hingga lapan peratus.

"Bagaimanapun, ia juga ditentukan oleh pembekal tempatan dan jika mereka menjual pada harga lebih tinggi, maka pengusaha bengkel membaiki kenderaan juga terpaksa meningkatkan sedikit upah dikenakan bagi mengimbangi kesan kenaikan itu," katanya.

Pada masa sama, menurut beliau, bagi memastikan ahli persatuan berkenaan sentiasa terbela, pihaknya turut membantu dengan menyalurkan senarai pembekal dalam kalangan ahli mahupun pembekal yang menjual pada harga lebih berpatutan kepada mereka.

Katanya lagi, ada juga pengguna yang membandingkan harga jualan alat ganti dijual secara dalam talian dengan harga yang dijual di bengkel.

"Saya menasihati pengguna untuk lebih peka dengan produk yang dibeli kerana ada kalanya ia membabitkan ukuran dan saiz yang berbeza.

"Ia berbanding jika mendapatkannya di bengkel malah alat ganti itu boleh terus dipasang pada kenderaan," katanya.

Pada masa sama, menurut Mohd Karim, walaupun alat ganti kenderaan mengalami kenaikan harga namun ia tidak terlalu mendatangkan masalah berbanding mendapatkan tenaga kerja.

Katanya ramai yang tidak mahu bekerja di bengkel walaupun memiliki kemahiran itu.

"Mereka lebih gemar bekerja dalam bidang perkhidmatan p-hailing, ejen insurans dan takaful serta menjual alat penapis air kerana menawarkan waktu kerja lebih fleksibel," katanya.

BARANGAN alat ganti kenderaan yang melibatkan material aluminium dan besi naik sekitar 10 peratus.
BARANGAN alat ganti kenderaan yang melibatkan material aluminium dan besi naik sekitar 10 peratus.

'Beli barang sendiri, bayar upah saja'

Kuala Lumpur: Pemilik Perodua Alza dan Proton Savvy, Sallahuddin Zainal, 41, yang bekerja sebagai juruteknik mempunyai kaedah tersendiri dalam menangani peningkatan kos alat ganti kenderaan.

Selepas tamat tempoh jaminan daripada pengeluar kenderaan, dia memilih untuk menyelenggara keretanya di bengkel luar kerana faktor kos di pusat servis berkaitan yang kebiasaannya lebih tinggi.

"Saya memilih untuk beli alat ganti sendiri daripada pembekal dan mengupah pemilik bengkel untuk memasangnya daripada terus membiarkan bengkel melakukan semua.

"Antara kelebihan menggunakan kaedah ini, saya boleh memilih sendiri alat ganti dan produk yang diinginkan berbanding di bengkel yang sudah dibekalkan dengan jenama tertentu selain dijual pada harga tetap," katanya yang tinggal di Kajang, Selangor.

Meskipun pusat selenggara rasmi menawarkan alat ganti tulen dan perkhidmatan yang lebih baik namun Sallahuddin berkata, dia perlu lebih berjimat cermat dalam keadaan ekonomi sekarang.

Pada masa sama, katanya, dia juga sentiasa memastikan kenderaannya diselenggara mengikut tempoh dinyatakan bagi memastikan ia sentiasa dalam keadaan baik.

Katanya lagi, bagaimanapun, jika dia memiliki lebihan bajet, dia akan menghantar kenderaan berkenaan ke pusat selenggara rasmi untuk lebih kelegaan.

"Pengguna juga digalakkan untuk lebih banyak melakukan pemantauan harga alat ganti kenderaan dan memilih bengkel yang berkemahiran dalam melakukan selenggara bagi menjimatkan kos.

"Janganlah disebabkan hanya mahukan barangan berharga murah, kita membeli alat ganti tidak berkualiti. Ia pasti akan meningkatkan kos kita jika berlaku perkara tidak diingini pada kenderaan," katanya.

Sallehuddin berkongsi, dia membeli sendiri minyak enjin dan penapis minyak pada harga RM80. Kos upah dikenakan bengkel pula sekitar RM20 menjadikan kos keseluruhan RM100.

"Sekiranya saya menghantar terus ke bengkel, kos keseluruhan ialah kira-kira RM120. Walaupun bezanya hanya RM20 namun ia tetap kos yang boleh dijimatkan untuk pembelian alatan lain pula," katanya.

Sudah tiga kali harga meningkat

Kuala Lumpur: Kenaikan harga minyak enjin kenderaan memang membebankan namun ia bukan dinaikkan secara 'suka-suka' sebaliknya disebabkan kilang menghasilkan bahan adaptif untuk minyak enjin itu yang terletak di Texas, Amerika Syarikat (AS) ditutup.

Pengarah Urusan AutoVettura Services Mohammed Fidzri Shafeeq Abu Kasim berkata, kenaikan harga minyak enjin itu berlaku sejak 2021.

"Sejak awal tahun ini, sudah tiga kali harga minyak enjin naik. Ia berlaku akibat peningkatan kos bahan mentah di seluruh dunia.

"Antara punca lain ialah pandemik Covid-19 menyebabkan banyak syarikat terkesan. Mereka juga berdepan kenaikan kos lojistik dan bahan mentah, seterusnya menjadikan kos keseluruhan juga meningkat." katanya.

Menurutnya, barangan yang melibatkan material aluminium dan besi turut naik sekitar 10 peratus.

"Untuk menampung kenaikan harga itu, seperti mana bengkel lain, kami naikkan sedikit kos upah sekitar tujuh ke 10 peratus.

"Cuma, bila tiba musim perayaan, kami perlu mendapatkan stok awal bagi memastikan kelancaran operasi. Kos tinggi juga diperlukan bagi memastikan barang ditempah diterima pada padanya," katanya.

Tambahnya, berlaku juga masalah birokrasi membabitkan harga daripada pembekal alat ganti kepada peniaga baru berbanding peniaga lama.

Katanya, pembekal juga melihat rekod dan komitmen pembelian daripada pengusaha bengkel untuk menawarkan harga serta kemudahan pembayaran lebih baik juga mudah.

AutoVettura kini mempunyai empat cawangan bengkel Petronas AutoExpert yang terletak di Sri Batu Caves, Bandar Rinching, Bandar Bukit Raja dan Taman Putra Kajang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 12:00 PM