GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dalam semakan semula Belanjawan 2023 yang kekal ke arah pengembangan sederhana, Kenanga Research menjangka paras hutang akan meningkat sedikit kepada 61.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023 berdasarkan anggaran defisit fiskal sebanyak RM95.0 bilion dan potensi pertumbuhan ekonomi yang lembap.

Hutang berkanun dijangka kekal di bawah nilai ambang 65.0 peratus, menurut firma penyelidikan itu dalam nota yang dikeluarkan pada Sabtu.

Sehingga akhir 2022, hutang kerajaan Persekutuan sebanyak RM1,079.6 bilion, iaitu 60.4 peratus daripada KDNK.

Walaupun bahagian KDNK itu lebih rendah daripada pada 2021, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan dalam ucapan Belanjawan 2023 bahawa ia masih terlalu tinggi dan perlu dikurangkan.

Sebaliknya, Kementerian Kewangan (MoF) mengunjurkan hutang kerajaan Persekutuan akan mencecah sekitar 62.0 peratus daripada KDNK, untuk membiayai program dan projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) serta penebusan bon 1MDB yang akan matang pada Mac 2023.

Kerajaan perlu membuat pinjaman untuk menebus kertas hutang dolar AS 10-tahun US$3.0 bilion dengan kupon 4.44 peratus setahun, katanya.

Hutang berkanun, yang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) sebanyak 57.7 peratus daripada KDNK, jauh di bawah nilai ambang 65.0 peratus yang ditetapkan oleh Akta 830 (Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan) yang telah dipinda.

Sementara itu, firma penyelidikan tersebut menyifatkan Belanjawan 2023 yang disemak semula itu sebagai usaha komprehensif untuk menangani cabaran ekonomi negara yang mendesak selain menggalakkan tanggungjawab sosial yang lebih besar serta akauntabiliti dan ketelusan fiskal.

Bagaimanapun, ia menjangka akan terdapat cabaran untuk mencapai sasaran defisit yang lebih rendah sebanyak 3.2 peratus daripada KDNK menjelang 2025, berdasarkan persekitaran ekonomi yang amat tidak menentu selepas pandemik.

"Namun, kami mengalu-alukan cadangan pembentangan Rang Undang-Undang Tanggungjawab Fiskal pada tahun ini dan berpendapat ia mencerminkan komitmen untuk memastikan kestabilan jangka panjang selain pertumbuhan ekonomi yang mampan," katanya.

Unjuran Jangka Sederhana Disemak Semula, Kutipan Cukai bagi Meningkatkan Hasil

Di bawah semakan semula Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana (MTFF) 2023-2025, pertumbuhan KDNK sebenar diunjurkan sederhana kepada 4.7 peratus (MTFF 2022-2024: 5.5 peratus sebelum ini).

Menurut firma itu, semakan terkini itu turut mempertimbangkan beberapa langkah dasar dan inisiatif pembaharuan untuk membina semula penampan fiskal dan mengukuhkan kewangan kerajaan.

Ini dicerminkan dalam peningkatan unjuran hasil melalui bukan petroleum dan berkaitan petroleum serta ketiadaan dana COVID-19.

Defisit fiskal disasarkan kepada purata yang lebih rendah pada 4.1 peratus daripada KDNK (2022-2024: -5.0 peratus), yang menunjukkan kerajaan menuju ke arah konsolidasi fiskal menjelang 2025.

"Bagaimanapun, kami mengunjurkan defisit fiskal pada 2023 akan berkurangan kepada 5.0 peratus sejajar dengan kerajaan, mengambil kira prospek ekonomi global yang lembap dan aktiviti ekonomi domestik yang kembali normal," katanya.

Sementara itu, kutipan cukai dijangka menjadi sumber utama hasil pada 2023, dengan jangkaan meningkat sebanyak 4.6 peratus kepada RM218.3 bilion, didorong oleh kutipan yang lebih tinggi daripada cukai langsung (RM164.1 bilion; 2022: RM153.5 bilion) dan sebahagiannya diimbangi oleh kutipan yang rendah sedikit daripada cukai tidak langsung (RM54.1 bilion; 2022: RM55.3 bilion).

Oleh itu, sumbangan hasil cukai kepada jumlah hasil dijangka meningkat kepada 74.9 peratus (2022: 70.9 peratus).

"Jangkaan keadaan pasaran buruh domestik yang bertambah baik dan prospek pendapatan, selain pemulihan yang berterusan dalam aktiviti ekonomi dan sosial, dijangka menyumbang kepada hasil cukai yang lebih tinggi pada 2023, sejajar dengan unjuran kerajaan.

"Selain itu, pelaksanaan cukai baharu, usaha kerajaan untuk meningkatkan pematuhan cukai dan cukai yang lebih tinggi untuk golongan kaya dijangka meningkatkan lagi hasil cukai," menurut Kenanga Research.

Prospek Pertumbuhan

MoF mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan berkembang sebanyak 4.5 peratus pada 2023 (2022: 8.7 peratus) -- di bawah unjuran Kenanga Research sebanyak 4.7 peratus.

Menurut firma penyelidikan itu, sejajar dengan anggaran dan unjuran yang dikemas kini oleh kerajaan, ia telah mengemas kini unjuran dengan pelarasan yang lebih rendah mengenai hasil dan komponen DE, berdasarkan prospek berhati-hati.

Katanya unjuran hasil akan mencabar untuk dicapai dalam persekitaran jangkaan naratif kelembapan ekonomi global.

"Pada masa yang sama, sebarang kelewatan dalam pelaksanaan projek besar kerajaan dan prospek gangguan rantaian bekalan global yang baharu boleh menjejaskan perbelanjaan kerajaan dan kemajuan projek utama," menurut Kenanga Research.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 1:23 PM