Oleh Sri Ayu Kartika Amri dan Suliati Asri


Kuala Lumpur: Pengesahan penarafan mata wang tempatan dan asing jangka panjang Malaysia pada A3 memberi petunjuk yang baik kepada ekonomi negara dari segi pertumbuhan ekonomi serta ketahanan makroekonomi.

Ia disokong menerusi langkah berterusan kerajaan memperkenalkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), Program Subsidi Upah (PSU) serta Geran Khas Prihatin (GKP) yang membantu meringankan beban rakyat selain suntikan dana kepada PKS.

Profesor di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Law Siong Hook berkata, penarafan itu selaras dengan usaha dan langkah Kementerian Kewangan membantu rakyat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akibat wabak Covid-19.

Katanya, institusi pembuat keputusan makroekonomi negara mengekalkan keberkesanan dan memberikan ketahanan terhadap aktiviti ekonomi yang terjejas.

"Sebelum tahun 1997, Malaysia diberi taraf A1 dan A2 tetapi tiada penarafan pada tahun 2005 sehingga 2012.

"Walaupun A3 bukanlah yang terbaik dari segi penarafan berbanding taraf Aaa, Aa, A1, dan A2, ia memberi satu petunjuk yang baik kepada ekonomi Malaysia.

"Ia penting untuk mengimbangi dasar fiskal kerajaan sebagai tindak balas terhadap kesan wabak yang mengakibatkan tahap hutang kerajaan yang lebih tinggi," katanya.

Dr Law berkata, penarafan Moody's yang tidak berubah dalam masa 10 tahun di Malaysia memberi satu implikasi bahawa sama ada penarafan terbabit mempunyai masalah atau prestasi mata wang tempatan dan asing jangka panjang atau bon yang tidak begitu memberangsangkan.

Beliau berkata, bagaimanapun, A3 adalah prospek yang stabil dan pelabur jika melihat kepada penarafan terbabit (setiap tahun yang tidak berubah dahulu), mereka akan mengabaikan penarafan itu sebagai maklumat penting atau bukan satu penunjuk yang baik untuk membuat keputusan.

"Kesan penarafan Moody's terkini akan memberi satu pengiktirafan prestasi pertumbuhan ekonomi Malaysia di landasan yang betul dan wabak Covid-19 tidak akan memberi kesan berterusan kepada ekonomi negara.

"Ia membuktikan bahawa pertumbuhan ekonomi negara tetap stabil walaupun dalam situasi bilangan kes Covid-19 yang meningkat dan berusaha menangani penularan wabak," katanya.

Menurutnya, penarafan ini memberi kepercayaan pelabur bahawa ekonomi negara tetap meneruskan momentum ke arah pemulihan dan dijangka menyumbang kepada sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Selain itu, Dr Law berkata Moody's meramalkan bahawa KDNK negara tahun ini akan meningkat 6.0 peratus dan pertumbuhan ekonomi dari 2022 hingga 2023 akan mencapai 5.0 hingga 5.5 peratus, di mana jauh lebih tinggi daripada median 3.4 peratus bagi negara lain yang menghadapi situasi sama dengan Malaysia.

Katanya, pakej Permai bernilai RM15 bilion mengukuhkan lagi bantuan segera kepada rakyat yang terjejas akibat banjir dan PKP selain menstabilkan ekonomi negara.

GKP berjumlah RM3.35 bilion pula membantu lebih banyak PKS terus bertahan dan beroperasi.

INFOGRAFIK
INFOGRAFIK

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed berkata, tindak balas dasar memberi keyakinan kepada pelabur asing bahawa kerajaan mempunyai ruang bertindak dari segi dasar, sekaligus memberi petunjuk akan ada pemulihan ekonomi selanjutnya.

Katanya, tindak balas dasar kerajaan Malaysia yang kukuh membuatkan pelabur asing selesa untuk berada di negara ini, dengan kerajaan masih berupaya untuk mengawal dan mengekang Covid-19.

"Asas makroekonomi kekal utuh meskipun berdepan cabaran dalam ekonomi.

"Kami di Juwai IQI kekal dengan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia sekitar 3-4 peratus bagi 2021 dan ringgit RM3.67-RM4.10," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 8:01 AM