MAHB akan menaik taraf prasarana komunikasinya di KLIA bermula hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah
MAHB akan menaik taraf prasarana komunikasinya di KLIA bermula hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Bisnes NSTP

MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) akan menaik taraf prasarana komunikasinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi tempoh tiga bulan akan datang bermula hari ini.

MAHB dalam satu kenyataan berkata, kerja naik taraf itu bertujuan meningkatkan pengalaman lapangan terbang di KLIA dan akan menambah baik keseluruhan liputan dan kapasiti rangkaian selular di lapangan terbang berkenaan.

“Ia juga bagi menyediakan kepada keperluan pendigitalan masa depan seperti inisiatif Lapangan Terbang 4.0, ekosistem e-dagang dan pembangunan Aeropolis,” kata pengendali lapangan terbang itu dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Dalam tempoh kerja naik taraf itu, orang ramai yang berada di lapangan terbang mungkin mengalami gangguan terputus-putus dari segi penerimaan dan kelajuan perkhidmatan selular dan talian pajak dalam terminal penumpang dan juga kargo.

“MAHB telah menyediakan beberapa pelan mitigasi bagi memastikan peralihan yang lancar. Antara langkah berkenaan termasuklah menempatkan telefon talian tetap di kaunter maklumat bagi kemudahan pengguna lapangan terbang serta memastikan kekuatan sambungan perkhidmatan WiFi percuma lapangan terbang untuk membolehkan pengguna berkomunikasi menerusi panggilan data dalam aplikasi mudah alih seperti WhatsApp dan Messenger.

“Duta CARE lapangan terbang juga akan ditempatkan bagi membantu penumpang yang mungkin memerlukan bantuan,” kata syarikat itu.

Bagi yang ingin membuat pertanyaan atau menyediakan maklum balas boleh berbuat demikian menerusi e-mel di [email protected] atau menghubungi nombor talian hotline di 03-8776 9006.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 10:45 AM