Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB)
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB)

Kuala Lumpur: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjangkakan untuk mencapai sehingga 50 peratus daripada jumlah peruncit di lapangan terbangnya menyertai platform e-dagang shopMYairports dalam tempoh tiga tahun.

Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial MAHB, Hani Ezra Hussin berkata, ketika ini, terdapat 10 peruncit di lapangan terbang kendalian MAHB yang menyertai platform berkenaan.

"Platform e-dagang ini mula diperkenalkan setahun lalu dan masih banyak peruncit dalam proses menyesuaikan diri dengan sistem baru ini.

"Ia mungkin mengambil sedikit masa untuk membawa semua lebih 300 peruncit di lapangan terbang turut serta dalam platform ini dan kami menjangka jumlahnya mencapai 50 peratus dalam tempoh tiga tahun," katanya pada taklimat media secara maya, semalam.

Menurutnya, pihaknya juga akan memperkenalkan penghantaran antarabangsa untuk produk ditawarkan di platform berkenaan dalam masa terdekat.

"Buat masa ini, penghantaran hanya dapat dibuat untuk pembeli tempatan namun, kami akan meluaskan kepada penghantaran antarabangsa.

"Dalam senarai produk yang mendapat sambutan pembeli, 20 produk teratas adalah barangan bebas cukai. Malah, kami juga memberi jaminan bahawa produk yang ditawarkan di shopMYairports adalah asli dan pembeli tidak perlu ragu-ragu," katanya.

Sementara itu, Hani berkata, sempena ulang tahun pertama shopMYairports dan kempen Are You The Goldenaire, MAHB menawarkan bar emas seberat 200 gram kepada pembeli bertuahnya.

Kumpulan turut menawarkan hadiah bulanan bar emas 2.5 gram bernilai sehingga RM100,000.

Menurutnya, pembeli boleh mengambil bahagian dalam pertandingan ini bermula dari September 2021 hingga 28 Februari 2022 dengan membeli voucher membeli-belah Goldenaire bernilai RM10 dan menebusnya di platform e-dagang shopMYairports.

"Kempen Are Are You the Goldenaire dijalankan sempena ulang tahun pertama shopMYairports. Sejak dilancarkan pada September 2020, shopMYairports sudah mencapai pertumbuhan jualan tambahan bulanan sekitar 50 peratus dan menarik lebih daripada dua juta pengunjung dalam talian.

"Malah siri promosi dalam talian yang dilaksanakan MAHB pada 2020 juga menyumbang kepada peningkatan penjualan, khususnya sempena Boxing Day, yang memberikan purata jualan harian sebanyak 58 kali ganda dan purata pesanan harian 38 kali ganda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 7:59 AM