LAKARAN projek kediaman Bywater Homes yang bakal dilancarkan September depan.
LAKARAN projek kediaman Bywater Homes yang bakal dilancarkan September depan.
Sofyan Rizal Ishak


SHAH ALAM: SP Setia Bhd (SP Setia), pemaju perbandaran Setia Alam bakal melancarkan projek kediaman terbaharunya dikenali Bywater Homes yang menawarkan 929 unit kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan RM800 juta.

Fasa satu bagi projek ini dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung 2021.

Pengurus Besar Bandar Setia Alam Sdn Bhd, Tan Siow Chung berkata, projek pembangunan yang memiliki keluasan keseluruhan 32.37 hektar itu bakal dilancarkan pada September ini dan ia menawarkan dua jenis kediaman di atas tanah iaitu rumah teres dua tingkat dan rumah berkembar.

“Projek ini adalah fasa terakhir bagi kediaman di atas tanah di Setia Alam dan ia adalah tawaran terbaik daripada kami,” katanya kepada Bisnes Metro di sini.

Bywater Homes menawarkan rumah teres dua tingkat berukuran 20 x 70 dan 22 x 75 dengan keluasan binaan bermula daripada 1,899 dan 2,071 kaki persegi pada harga di bawah RM700,000 serta RM800,000 selepas rebat.

Ia juga menawarkan rumah berkembar dengan ukuran 32 x 75 dengan keluasan binaan bermula 2,440 kaki persegi pada harga di bawah RM1.1 juta selepas rebat.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan projek itu akan mendapat sambutan dalam kalangan pembeli selepas pelancaran pada bulan depan berikutan ia menawarkan harga berpatutan dan terletak di kawasan perbandaran matang yang turut menyaksikan permintaan tinggi terhadap kediaman di atas tanah.

“Unit kediaman ini menawarkan reka bentuk yang fleksibel sehingga empat bilik tidur, sekali gus menjadikan ia sesuai bagi keluarga yang besar,” katanya.

Tan berkata, pihaknya menampilkan elemen air dalam ciri-ciri pembangunan Bywater Homes seperti taman tanah lembab seluas 9.71 hektar yang bakal meningkatkan lagi ruang kehidupan luaran bagi projek itu serta taman rekreasi seluas 7.28 hektar yang menawarkan kemudahan untuk aktiviti luar bagi pemilik rumah.

“Projek ini juga akan menggalakkan pemilik kediaman untuk melakukan aktiviti di luar rumah bagi melaksanakan gaya hidup sihat dan aktif melalui kewujudan kawasan taman yang diinspirasikan daripada taman yang popular di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, China dan Eropah,” katanya.

Pada masa sama, SP Setia turut menjalinkan kerjasama dengan dua bank iaitu Maybank Bhd dan Hong Leong Bank Bhd bagi menyediakan pembayaran mudah untuk pembayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus khusus buat pembeli rumah terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 6:16 AM