Sofyan Rizal Ishak

Cyberjaya: Setia Haruman Sdn Bhd (Setia Haruman) pemaju induk Cyberjaya akan memperuntukkan tanah seluas 121 hektar bagi pelaksanaan lebih banyak projek pembangunan rumah mampu milik dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Ketua Bahagian Korporat Strateginya Siti Mariam Mohd Desa berkata, pelaksanaan langkah itu adalah bertujuan membantu syarikat untuk merealisasikan mandat membina 16,000 rumah mampu milik dalam tempoh terbabit.

“Setakat ini, 4,000 rumah mampu milik di Cyberjaya sedang dibina di bawah beberapa inisiatif dari Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Rumah Selangorku di mana ia dijangka siap pada tahun depan,” katanya pada Bisnes Metro, di sini.

Beliau berkata, pihaknya komited membina lebih banyak rumah mampu milik melalui pemaju swasta bagi memenuhi keperluan kediaman dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana di Cyberjaya.

“Kami tidak hanya memberi peluang kepada pembangunan unit kediaman mewah sahaja di mana Cyberjaya adalah bandar yang memiliki pembangunan kediaman untuk semua golongan termasuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana dengan pembangunan rumah mampu milik akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya.

Setia Haruman adalah syarikat yang dimandatkan kerajaan bagi membangunkan pelan bangunan daripada aspek infrastruktur fizikal serta kemudahan seperti pembetungan, landskap dan jalanraya serta pembinaan infrastruktur fiber optik.

Selain itu, ia turut menerokai perniagaan hartanah dengan menjadi pemaju hartanah dan sudah membina bangunan komersial dan residen serta berperanan dalam penjualan tanah kepada pihak ketiga bagi pembangunan Cyberjaya.

Beliau berkata, syarikat sudah pun membangunkan dan memiliki tujuh pembangunan kediaman sebanyak 1,600 unit, 10 bangunan pejabat dengan keluasan satu juta kaki persegi dan dua bangunan komersial.

Menurutnya, syarikat turut membuka peluang kepada pemaju hartanah lain untuk menjalankan pembangunan di Cyberjaya yang mana seluas 12 juta kaki persegi pembangunan pejabat sudah dilaksanakan.

“Sehingga kini, seramai 25 pemaju hartanah termasuk dua pemaju luar negara melaksanakan projek pembangunan di Cyberjaya melalui aktiviti jualan tanah sejak diberi mandat oleh kerajaan,” katanya.

Untuk Setia Haruman sendiri, syarikat merancang melaksanakan projek pembangunan pangsapuri baru dikenali Westlink dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM725 juta dan ia akan dilancarkan pada tahun depan.

“Pelaksanaan projek ini berikutan permintaan tinggi daripada orang ramai di mana ia sudah pun diluluskan yang mana unit ditawarkan akan membabitkan keluasan daripada 800 hingga 1,000 kaki persegi dan dijual pada harga RM500,000.

“Dalam masa sama, kami sedang melaksanakan pembinaan unit komersial dikenali Centrus CBD Perdana 3 dengan GDV RM1.01 bilion membabitkan unit Pejabat Kecil Rumah Pejabat (SOHO) dan unit runcit di mana ia dijangka siap menjelang hujung tahun ini,” katanya.

Mengulas mengenai jualan tanah di Cyberjaya, beliau berkata, pihaknya berjaya membangunkan 2,428 hektar tanah di Cyberjaya melalui aktiviti jualan tanah kepada pemaju luar dengan 810 hektar daripada jumlah itu dibangunkan Setia Haruman sendiri.

“Kami kini memiliki baki tanah kira-kira 405 hektar lagi untuk dibangunkan dengan 121 hektar didedikasikan kepada pembinaan rumah mampu milik manakala selebihnya fokus kepada pembinaan unit bercampur,” katanya.

Dalam masa sama, Setia Haruman berhasrat menawarkan lebih banyak komponen hiburan dan santai di Cyberjaya bagi memenuhi keperluan komuniti di sana yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dari seluruh dunia dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang

Cyberjaya memiliki keluasan 2,832 hektar secara keseluruhan di mana ia menempatkan 1,774 syarikat tempatan dan antarabangsa manakala 482 adalah berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC), 26 pusat data, empat universiti dan lima kolej serta memiliki seramai 102,000 populasi penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2017 @ 2:22 AM