Kuala Lumpur: Welton Development Sdn Bhd melancarkan kira-kira 1,134 unit kediaman servis di Iskandar Malaysia yang memenuhi gaya hidup masa kini dan mempunyai sistem rumah pintar tersendiri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Thomas CY Ling berkata, projek yang dinamakan Green Haven itu dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua 2017 dengan memperuntukkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1 bilion.

“Green Haven dibina di atas tanah seluas 3.14 hektar dengan bertemakan hutan hujan yang terbuka bukan saja kepada mereka yang ingin memiliki kediaman, tetapi juga pelabur.

“Projek terbabit mempunyai tiga menara yang dihubungkan dengan jejantas khas untuk penduduk yang membolehkan pemilik melihat pemandangan persekitaran pada 360 darjah,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kira-kira 25 peratus daripada keluasan tanah projek untuk pembangunan pangsapuri dan suku daripadanya pula bagi kawasan hijau.

Setiap menara tinggi itu mempunyai pembentukan hierarki 40, 43 dan 46 tingkat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:05 AM