AZIZI (dua dari kiri) pada pelancaran penyelesaian itu bersama Pameran Industri Pintar, semalam. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
AZIZI (dua dari kiri) pada pelancaran penyelesaian itu bersama Pameran Industri Pintar, semalam. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: TM ONE, unit penyelesaian perniagaan Telekom Malaysia Berhad (TM) yakin dapat meningkatkan pendapatannya pada tahun ini bersandarkan kepada pengenalan 10 penyelesaian transformasi pintarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif TM ONE, Azizi A Hadi berkata, penyelesaian berkenaan adalah disasarkan untuk membantu industri perniagaan dan perusahaan serta sektor awam dalam bergerak ke arah Revolusi Perindustrian 4.0 (Industri 4.0).

Beliau berkata, usaha itu membabitkan empat kluster berkaitan seperti bandar terhubung dan penyelesaian gaya hidup, kilang terhubung, penyelesaian utiliti terhubung serta pertanian terhubung.

“Kami begitu teruja untuk membawakan penyelesaian atau rumusan ini ke pasaran bagi merealisasikan transformasi digital dan perniagaan yang diperlukan semua pihak.

“Menerusi pembangunan dan penyampaian berterusan penyelesaian digital oleh Internet Benda (IoT), analisis data raya dan kecerdasan buatan (AI), kami akan memenuhi keperluan dinamik pelbagai industri dalam ekosistem saling terhubung pada masa kini.

“Menerusi asas 11,000 pelanggan ketika ini yang terdiri daripada sektor awam serta korporat, usaha pengenalan penyelesaian ini diharap dapat membantu meningkatkan pendapatan TM ONE pada tahun ini,” katanya pada majlis pelancaran penyelesaian itu bersama Pameran Industri Pintar di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi TM, Imri Mokhtar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 6:46 AM