SHABERY (dua dari kiri) mendengar penerangan mengenai bandar pintar dari eksekutif Huawei.
SHABERY (dua dari kiri) mendengar penerangan mengenai bandar pintar dari eksekutif Huawei.
Oleh Afiq Hanif


Huawei Malaysia sudah bersedia menawarkan penyelesaian bandar pintar mereka yang selari komitmen negara ini bagi menghasilkan masyarakat terhubung.

Dengan kerjasama rakan industri, penyelesaian bandar pintar Huawei menawarkan sistem keselamatan terkini dengan akses rangkaian, pusat kawalan setempat, video pengawasan di perkomputeran ‘cloud’ dan polisi mudah alih.

Ia memberikan maklumat terperinci dengan kawalan visual, perkongsian sumber merentasi negara serta fungsi analisis pintar untuk kawalan keselamatan menyeluruh.

Ketua Pegawai Eksekutfi Huawei Malaysia Abraham Liu berkata, Malaysia berpotensi menjadi negara pertama yang me­ngamalkan inisiatif bandar pintar secara menyeluruh di Asia Tenggara.

“Hubungan digital melangkaui bandar dan kampung yang secara tidak langsung juga menarik pelabur untuk datang ke negara ini,” katanya.

Menurutnya, setiap bandar memerlukan penyelesaian keselamatan awam yang efektif untuk insiden, maklum balas kecemasan dan pengumpulan bukti yang menangani cabaran moden.

“Apabila Malaysia melangkah maju dalam visi bandar pintar, ia mempu­nyai pelbagai potensi hasil penggunaan teknologi untuk perkhidmatan awam dan keselamatan,” kata­nya ketika pelancaran visi bandar pintar Huawei yang turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Kaunselor Ekonomi dan Komersil Kedutaan China di Malaysia Wu Zhengping.

Berikutan wujudnya keperluan kritikal terhadap bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), Huawei membangunkan ekosistem yang berkesan untuk menguruskan sesebuah bandar.

Penggunaan ICT sangat signifikan dalam menguruskan sesebuah bandar terutama dengan peningkatan jumlah penduduk yang berhijrah ke bandar besar.

Dengan keadaan bandar yang pesat membangun, cabaran menjadikan bandar pintar juga semakin hebat yang mana penggunaan ICT dalam pelan utama pembangunan sesebuah bandar, secara tidak langsung bantu penduduk rancang kehidupan lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 1:52 PM