KOLABORASI TM ONE, Huawei   sedia infrastruktur  sokong pertumbuhan teknologi masa hadapan.
KOLABORASI TM ONE, Huawei sedia infrastruktur sokong pertumbuhan teknologi masa hadapan.
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi unit rumusan perniagaannya, TM ONE menandatangani Memorandum Usahasama (MoC) bersama syarikat teknologi, Huawei bagi membangunkan era transformasi digital masa hadapan.

TM ONE dan Huawei juga berhasrat untuk memainkan peranan pembangunan yang lebih proaktif dalam menyediakan infrastruktur dan ekosistem bagi menyokong pertumbuhan digital di Malaysia.

Malah, kerjasama rapat dua pihak itu juga bakal memanfaatkan gabungan kekuatan dan keupayaan antara pihak TM dan Huawei.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin berkata, pihaknya teruja dapat menjalin kerjasama dengan syarikat global terkemuka seperti Huawei bagi merebut peluang transformasi digital perusahaan dan sektor awam di Malaysia.

“Kolaborasi ini akan mengukuhkan kedudukan TM sebagai pemacu aspirasi digital Malaysia dengan pelaksanaan aplikasi dan rumusan untuk kediaman dan perniagaan di negara ini.

“TM sentiasa menerajui setiap evolusi teknologi komunikasi di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

MoC terbabit ditandatangan dan dimeterai kedua-dua syarikat pada Kongres Mudah Alih Dunia (MWC) 2019 yang diadakan di Shanghai, China.

Ia juga adalah susulan Memorandum Persefahaman (MoU) yang termeterai antara TM dan Huawei pada Mac tahun lalu yang menggariskan pelbagai inisiatif antara kedua-dua pihak.

Antaranya, termasuk untuk mempromosikan inovasi, membangunkan strategi ke pasaran, meningkatkan kemahiran dan keupayaan serta mempertingkatkan produk dan perkhidmatan.

Noor Kamarul berkata, TM mempunyai rekod yang terbukti sejak sekian lama dalam pembangunan negara berserta kemahiran dan pengalaman yang tepat untuk melonjakkan Malaysia menjadi negara Digital.

“Menurutnya, kolaborasi terbabit, sekali gus mencerminkan komitmen syarikat untuk merealisasikan agenda negara,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Huawei, Tian Feng berkata, kerjasama dua pihak itu diperkukuhkan dengan bersandarkan kepada MoU strategik pada tahun lalu.

Katanya, ia juga adalah berdasarkan kepada keyakinan jangka panjang dua organisasi itu dan lebih penting saling melengkapi keupayaan teknologi dan strategi dalam pasaran perniagaan perusahaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 7:12 AM