KHAIRUL (kanan) bersama Effendi pada majlis memeterai rakan kongsi kedua-dua pihak, semalam.
KHAIRUL (kanan) bersama Effendi pada majlis memeterai rakan kongsi kedua-dua pihak, semalam.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) bersedia mempertingkatkan operasi serta pengalaman perbankan menerusi transformasi secara berperingkat bagi segmen perbankan digital kepada pelanggan baru dan sedia ada.

Transformasi itu dibuat menerusi kerjasama strategik institusi perbankan Islam itu bersama Cognizant, firma perunding perniagaan dan teknologi terkemuka global bagi menyediakan asas kepada platform perbankan digital merentasi seluruh rangkaiannya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Khairul Kamarudin berkata, usaha sama itu memberikan keyakinan kepada Bank Islam untuk meningkatkan pelanggan perbankan digital yang ketika ini berjumlah 900,000 menjadi dua juta menjelang 2019.

“Platform digital ini yang dibangunkan bersama-sama Cognizant dijangka bakal dilancarkan pada suku kedua 2018 dengan sasaran sekurang-kurangnya satu produk perbankan runcit akan diperkenalkan.

“Bank Islam masih mempunyai penguasaan rendah dalam segmen perbankan digital bagi keseluruhan operasi. Bagaimanapun dengan kerjasama ini kami yakin bakal melalui transformasi cemerlang pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Bank Islam dan Cognizant di sini, semalam. Hadir sama Ketua Perniagaan Cognizant di Malaysia, Effendi Azmi Hashim.

Khairul berkata, Bank Islam akan terus mengaplikasikan teknologi digital dalam produk dan perkhidmatan, sekali gus memberikan akses meluas kepada pelanggan yang mengubah pengalaman perbankan mereka.

Katanya, pihaknya yakin untuk menyediakan penyelesaian inovatif yang canggih kepada segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan membantu usahawan bagi operasi serta pengembangan perniagaan mereka.

“Ia membolehkan Bank Islam menembusi segmen luar bandar yang kurang mendapat perkhidmatan perbankan dengan cepat dan merangsang rangkuman kewangan dengan mengatasi halangan kos serta fizikal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 8:20 AM