ONG (tiga dari kiri) bersama Chow (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran perkhidmatan dompet elektronik (e-dompet),  Touch ‘n Go eWallet.
ONG (tiga dari kiri) bersama Chow (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran perkhidmatan dompet elektronik (e-dompet), Touch ‘n Go eWallet.
Nabil Basaruddin


TOUCH ‘n Go eWallet kini memperluaskan perkhidmatan di Pulau Pinang menerusi rakan niaganya yang akan membolehkan orang ramai menikmati transaksi tanpa tunai di bazar dan pasar malam di negeri itu, khususnya di Georgetown.

Perkhidmatan dompet elektronik (e-dompet) itu akan diperkenal sebagai kaedah pembayaran digital di seluruh Pulau Pinang termasuk gerai dan pusat penjaja di sepanjang jalan warisan Georgetown seperti Pasar Chowrasta, Lebuh Armenian, Jalan Nagore dan Tanjung Tokong.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Ignatius Ong berkata, pulau yang kaya dengan warisan itu akan mengalami transformasi dunia tanpa tunai dengan kehadiran servis e-dompet terbabit.

Beliau berkata, pengguna dapat menikmati pengalaman beli-belah yang mudah dan hanya dengan mengimbas kod QR peniaga untuk melakukan pembelian tanpa sebarang kebimbangan.

“Kami teruja membawa kepakaran kami ke Pulau Pinang kerana ini langkah tepat bagi menjayakan visi menjadikan Malaysia negara tanpa tunai.

“Usaha kami di Pulau Pinang adalah khas untuk semua yang menetap, bekerja dan melancong di negeri ini.

“Penyediaan kemudahan di tapak warisan tempatan adalah kesinambungan komitmen jangka panjang syarikat untuk memacu masa depan negeri ini dengan menyediakan kaedah urus niaga yang mudah,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Perkhidmatan berkenaan dilancarkan dengan sokongan kerajaan Pulau Pinang yang dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Ong berkata, pihaknya mahu memainkan peranan aktif dalam menyokong pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang menerusi pengenalan sistem pembayaran digital untuk peniaga tempatan.

Menurutnya, peniaga kecil seperti penjaja dan pengendali restoran mamak akan mendapat banyak manfaat daripada Touch ‘n Go eWallet kerana ia membantu inovasi untuk kekal relevan dalam pasaran semasa.

“Penyertaan kami di Pulau Pinang sejajar dengan rancangan kerajaan Pulau Pinang, Penang2030 di mana di bawah pelan ini, kami akan menyumbang kepada ekonomi tempatan bagi menjadikan ia negeri pintar yang hijau.

“Transaksi tanpa tunai mengurangkan keperluan urus niaga menggunakan kertas atau resit dan teknologi Touch ‘n Go eWallet yang canggih dengan ciri eksklusif menyumbang kepada pembangunan negeri yang pintar dan lebih terhubung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 6:01 AM