DR Mahathir  bersama  Wan Zulkiflee  (kiri),  Ahmad Nizam serta Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran AOGC, Mohd Yusri Mohamed Yusof (kanan) pada persidangan AOGC ke-20 di  Kuala Lumpur, semalam.
DR Mahathir bersama Wan Zulkiflee (kiri), Ahmad Nizam serta Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran AOGC, Mohd Yusri Mohamed Yusof (kanan) pada persidangan AOGC ke-20 di Kuala Lumpur, semalam.
Hairulazim Mahmud dan Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Kedudukan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sebagai syarikat minyak negara terus kekal kukuh dan tidak berubah meskipun diberikan penilaian yang lebih rendah oleh agensi penarafan global, Moody’s.

Moody’s Jumaat lalu mengumumkan bahawa ia menurunkan penarafan penerbit domestik Petronas dan mata wang asing senior tidak bercagar kepada A2 (stabil) daripada A1 (negatif).

Pengumuman itu dibuat selepas penerbitan metodologi rentas sektor yang dikemas kini, Menilai Impak Kualiti Kredit Kerajaan pada Penilaian Lain, pada 20 Jun lalu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, agensi penarafan itu boleh membuat sebarang penilaian namun tidak semua penilaian yang dilakukan oleh agensi itu tepat.

“Penilaian Moody’s tidak semestinya betul, malah mereka juga ada membuat penilaian yang tidak betul dan kerajaan tidak boleh tegur kerana mereka adalah badan bebas.

“Mereka nak buat, buatlah. Kita tak semestinya kena ikut pendapat agensi.

“Berdasarkan kepada prestasi Petronas ketika ini, kerajaan yakin penurunan berkenaan tidak akan menjejaskan Petronas,” katanya pada Persidangan Minyak dan Gas Asia (AOGC) ke-20 di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Pengerusi Petronas Datuk Ahmad Nizam Salleh dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Majlis sama turut menyaksikan demonstrasi ROVR, perkhidmatan berinovatif mengisi minyak bergerak yang pertama di Malaysia.

Perkhidmatan inovatif ROVR adalah inisiatif Petronas melalui anak syarikatnya, Petronas Dagangan Bhd (PDB) yang menawarkan ROVR bagi membolehkan pengisian bahan api yang lancar dan selamat bagi kedua-dua pemandu komersial dan harian di luar stesen minyak konvensional.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Petronas juga sudah memulakan kajian bagi membangunkan Kertas Putih Minyak, Gas dan Persekitaran terhadap Landskap Tenaga Masa Depan Malaysia.

Menurutnya, usaha dalam kajian Kertas Putih itu turut dilaksanakan dengan pembabitan agensi berkaitan seperti dari sektor tenaga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 7:17 AM