Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Kerajaan menyifatkan penarafan diberikan oleh satu agensi antarabangsa bukan perkara utama yang menggambarkan asas ekonomi sebenar Malaysia.

Ini berikutan agensi penarafan antarabangsa, Fitch Ratings mengunjurkan berkemungkinan besar menurunkan penarafan kredit Malaysia dari A- kepada penarafan lebih rendah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, terdapat tiga agensi penarafan global iaitu Standard & Poor (S&P), Moody’s Investors Service dan Fitch yang mana masing-masing mempunyai unjuran berbeza mengenai prospek ekonomi Malaysia.

Beliau berkata, jika dilihat kepada unjuran S&P adalah bersifat stabil, Moody’s positif dan Fitch mengunjurkan prospek negatif kepada eknomi Malaysia, tetapi penarafan adalah sama iaitu A-.

“Tugas kita adalah memastikan mereka mendapat fakta yang benar dan secara dasarnya, asas ekonomi kita dan struktur kewangan Malaysia kukuh.

“Mungkin terdapat persepsi mengenai beberapa perkara yang perlu dijelaskan dan kita akan terus bekerjasama dengan mereka,” katanya selepas menyampaikan ucaptama dan anugerah kepada majikan terbaik pada majlis Majikan Terbaik Aon Hewitt-Malaysia 2015, di sini, semalam.

Pada majlis itu, Wahid menyampaikan 12 Anugerah kepada pelbagai syarikat termasuk tiga daripadanya adalah syarikat dari Malaysia iaitu Eco World Development Group Bhd, S P Setia Bhd dan Sime Darby Property Bhd yang masing-masing menerima Anugerah Majikan Terbaik Malaysia 2015.

Manakala, Anugerah Terbaik antara Terbaik dirangkul oleh Starbucks Coffee Malaysia & Brunei. Anugerah berkenaan mengambil kira beberapa kriteria antaranya cabaran perniagaan dan insan, keterbabitan pekerja dan pimpinan berkesan.

Sementara itu, dalam ucaptamanya, Wahid berkata, pada masa depan menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), negara berhasrat untuk mencipta 1.1 juta peluang pekerjaan membabitkan tenaga kerja pakar, sekali gus membantu meningkatkannya dari 25 peratus ketika ini kepada 35 peratus.

“Namun, perkara ini masih belum dimuktamadkan dan dijangka mengambil masa dua bulan akan datang untuk diumumkan dalam rancang yang sepenuhnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:13 AM