Sharanjit Singh


PETRONAS tidak akan dapat membayar dividen khas sebanyak RM30 bilion pada 2019 kepada kerajaan jika mereka tidak mampu berbuat demikian, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“RM30 bilion itu tidak ada apa bagi mereka... mereka pernah memberi RM80 bilion satu masa dulu ketika harga minyak ialah AS$120 setong.

“(Mereka memberi) RM30 bilion itu adalah kerana harga minyak sekarang ialah AS$70 setong,” katanya di luar acara Sidang Kemuncak ASEAN ke-33 di Singapura, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan yang ditimbulkan oleh Moody’s Investors Service bahawa kedudukan kewangan PETRONAS akan merosot jika kerajaan terus meminta syarikat minyak negara untuk mengekalkan pembayaran dividen tinggi.

Seperti yang diumumkan pada Belanjawan 2019 2 November lalu, PETRONAS akan membayar RM30 bilion sebagai dividen khas kepada kerajaan pada tahun depan sebagai tambahan kepada dividen tahunan yang berjumlah RM24 bilion.

Syarikat itu juga membayar dividen RM26 bilion pada 2018, berbanding pembayaran dividen tahunan sebanyak RM16 bilion, pada 2016 dan 2017.

Dr Mahathir berkata agensi penarafan perlu sedar bahawa negara ini tidak bergantung kepada minyak dan 80 peratus eksport Malaysia adalah barang pembuatan.

“Kami tidak bergantung kepada minyak. Ya, kadang-kadang apabila harga minyak naik ia memberikan kita lebih banyak wang ... itu saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 8:25 PM