BERNAMA

SHAH ALAM: Selangor mencatatkan pelaburan tertinggi dalam tempoh 30 tahun dalam sektor perkilangan dengan nilai pelaburan yang diluluskan berjumlah RM18.947 bilion pada tahun lalu.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, jumlah itu meningkat 238 peratus berbanding 2017 yang mencatatkan kemasukan pelaburan RM5.592 bilion pada tahun itu.

Katanya, daripada jumlah itu, RM10.837 bilion adalah pelaburan langsung asing manakala RM8.11 bilion disumbangkan pelabur tempatan.

“Statistik daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) 2018 yang dikeluarkan baru-baru ini, turut menunjukkan sebanyak 241 projek perkilangan diluluskan di Selangor pada 2018 berbanding 202 projek perkilangan diluluskan pada 2017.

“Jumlah projek yang diluluskan ini adalah yang tertinggi jika dibandingkan dengan negeri lain,” katanya pada sidang media mengenai prestasi pelaburan negeri Selangor pada 2018 di sini, semalam.

Katanya, Selangor juga berjaya mewujudkan sebanyak 18,475 peluang pekerjaan dalam sektor perkilangan pada tahun lalu, meningkat 84 peratus berbanding 10,031 peluang pekerjaan dalam sektor itu pada 2017.

Beliau berkata, prestasi yang memberangsangkan itu menunjukkan keyakinan komuniti perniagaan antarabangsa dan tempatan kepada ketelusan dan kecekapan pentadbiran kerajaan negeri.

“Ia juga daripada keberkesanan usaha yang sudah dan akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri melalui agensi penggalakan pelaburan iaitu Invest Selangor Berhad serta kerjasama dan sokongan padu daripada jabatan dan agensi kerajaan lain seperti pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah dan agensi teknikal yang lain,” katanya.

Menurutnya, China adalah penyumbang tertinggi dari segi jumlah pelaburan di Selangor pada tahun lalu yang mencatatkan sebanyak RM3.934 bilion dalam sektor seperti barangan asas logam, produk kertas dan lain-lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 1:00 PM