KLIA turut berada dalam senarai enam daripada lapangan terbang terbesar di Asia Pasifik.
KLIA turut berada dalam senarai enam daripada lapangan terbang terbesar di Asia Pasifik.
Nabil Basaruddin


MALAYSIA kekal dalam kedudukan tiga teratas sebagai hab mega bagi penerbangan tambang rendah antarabangsa menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi rantau Asia Pasifik menurut Indeks Hab Mega Antarabangsa 2018 oleh OAG.

OAG adalah agensi dengan rangkaian data pengembaraan udara terbesar dunia termasuk pangkalan data jadual yang paling sahih bagi lebih daripada 980 syarikat penerbangan dan maklumat status penerbangan paling meluas di pasaran.

Menurut indeks berkenaan, KLIA terpilih bersandarkan kepada faktor pembangunan infrastruktur lapangan terbang bagi penerbangan kos rendah, pengembangan rangkaian laluan serta pertumbuhan kapasiti tempat duduk.

Ia juga adalah pangkalan bagi Kumpulan AirAsia iaitu syarikat penerbangan tambang murah terbesar di Asia dan juga terbaik dunia.

Selain KLIA, dua lagi lapangan terbang antarabangsa lain yang berada dalam kedudukan sama ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta dan Lapangan Terbang Changi, Singapura.

Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila berada di tempat keempat, naik dari kedudukan ke-12 dengan Cebu Pacific sebagai syarikat penerbangan yang mendominasi operasi satu pertiga dari keseluruhan penerbangan.

Indeks turut menyaksikan KLIA mencatatkan prestasi cemerlang apabila berada dalam senarai enam daripada lapangan terbang terbesar di Asia Pasifik serta 20 lapangan terbang yang paling banyak dihubungkan di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 2:18 PM