Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengumumkan pindaan Caj Pekhidmatan Penumpang (PSC) yang akan dikenakan di semua lapangan terbang di Malaysia bermula 1 Januari 2017 bagi kelangsungan industri penerbangan untuk jangka masa panjang.

MAVCOM memperkenalkan kategori PSC yang lebih rendah untuk penerbangan ke negara ASEAN dari semua lapangan terbang utama Malaysia dengan kadar RM35 dan ia adalah pengurangan RM30 berbanding PSC semasa iaitu RM65 bagi setiap penumpang.

Ini menjadikan Malaysia sebagai negara ASEAN yang pertama dalam memperkenalkan caj peringkat itu. Antara kadar baru lain ditetapkan suruhanjaya itu adalah RM11 untuk penerbangan domestik serta RM73 bagi penerbangan antarabangsa dari semua lapangan terbang dan RM50 bagi klia2.

Sekarang ini, kadar PSC untuk penerbangan domestik adalah RM9 untuk lapangan terbang antarabangsa dan RM6 bagi klia2. Kadar untuk penerbangan antarabangsa, termasuk ke negara-negara ASEAN adalah RM65 di lapangan terbang antarabangsa dan RM32, jika berlepas dari klia2.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Jeneral Tan Sri Abdullah Ahmad berkata, tujuan utamanya adalah untuk menggalakkan pembangunan ekonomi berterusan bagi industri penerbangan Malaysia dan pendapatan yang dijana pengendali lapangan terbang melalui PSC akan digunakan bagi tujuan operasi, penyelenggaraan serta pembangunan lapangan terbang.

Beliau berkata, MAVCOM menjalankan kajian menyeluruh mengenai PSC dan lebih hampir ke arah penerapan amalan antarabangsa yang baik bagi peraturan caj lapangan terbang, di mana ia turut memastikan kadar PSC Malaysia kekal antara yang paling rendah di rantau ini.

“Sejak ditubuhkan, kami membuat persiapan untuk mengubah landskap industri penerbangan awam negara dengan memperkenalkan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) dan melaksanakan proses permohonan pelesenan komersial yang lebih ketat bagi syarikat penerbangan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Kadar PSC yang sama rata di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 bagi menggalakkan persaingan akan diperkenalkan secara berperingkat dengan kesamarataan segera PSC bagi penerbangan domestik dan ASEAN, pengurangan kepada perbezaan PSC antarabangsa (selain ASEAN) dan semakan PSC yang akan dilakukan pada 2017 untuk penyamarataan kadar PSC yang lengkap.

Abdullah berkata, kadar yang dipinda ini bakal dikuatkuasakan pada 1 Januari 2017 dan akan dikenakan hanya kepada tiket yang dikeluarkan pada dan selepas tarikh berkenaan manakala tiket yang dikeluarkan sebelum 1 Januari 2017 tidak dikenakan kadar baru itu meskipun tarikh penerbangan dijadualkan pada atau selepas 1 Januari 2017.

Pada masa sama, MAVCOM turut memaklumkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) tidak mengenakan caj PSC di semua STOLport di Sabah dan Sarawak untuk penerbangan Perkhidmatan Udara Luar Bandar yang menghubungkan kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 7:11 AM