CHENG  (kiri),  Syed Mohamad Bakri (tengah) dan Zainal (dua dari kiri) selepas majlis MoU antara Nanopac dan GC Global.
CHENG (kiri), Syed Mohamad Bakri (tengah) dan Zainal (dua dari kiri) selepas majlis MoU antara Nanopac dan GC Global.
Mohamad Hussin

Kazakhstan: Nanopac (M) Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan GC Global Consulting GMBH (GC Global) yang berpangkalan di Switzerland bagi mempromosikan teknologi sistem solar hibrid serta nanoteknologi membabitkan pelaburan sebanyak AS$60 juta (RM258 juta), September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Nanopac, Datuk Dr Cheng Kok Leong berkata, GC Global mempunyai rangkaian perniagaan di seluruh dunia serta mempunyai kepakaran mendalam dalam pemasaran inovasi, teknologi baru untuk digunakan dalam pembangunan hartanah dan pembinaan bangunan.

Beliau berkata, GC Global akan menjadi cabang pemasaran Nanopac pada projek mereka, sumber untuk rakan usaha sama selain projek tenaga yang boleh diperbaharui.

“Ia mengambil bahagian dan menyediakan pembiayaan untuk usaha dan projek perniagaan dalam bidang ini.

“Kerjasama antara Nanopac dan GC Global difokuskan pada Kazakhstan, India, Amerika Syarikat, Switzerland, United Kingdom, Jerman dan Afrika.

“Mengikut perjanjian terbabit, GC Global akan mempromosikan teknologi sistem solar hibrid serta nanoteknologi kami dalam projek kediaman serta komersial di negara itu.

“Perjanjian selama tiga tahun itu dilakukan selepas Ketua Pegawai Eksekutif GC Global, Raffael Wullschleger melawat kemudahan syarikat berkenaan di Malaysia,” katanya selepas majis penyerahan dokumen MoU di Pavillion Malaysia sempena Ekspo Astana 2017, di sini, semalam.

Majlis penyerahan turut disaksikan Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan, Syed Mohamad Bakri Syed Abd Rahman dan Naib Presiden Kanan (Bioindustrial) Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia (Bioeconomy Corp), Zainal Azman Abu Kassim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2017 @ 8:00 AM