Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur : Kerajaan Malaysia berminat dan mengambil langkah utama untuk menyokong penggunaan tenaga solar perindustrian di negara ini terutama menerusi skim pembiayaan kajian dan pembangunan (R&D).

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Abu Bakar Mohd Diah berkata, sokongan MOSTI ke arah membangunkan teknologi tenaga solar yang berkaitan di negara ini adalah melalui skim R&D.

Beliau berkata, setakat ini menerusi dana prapengkomersialan MOSTI juga membiayai dua projek berkaitan tenaga solar yang berjumlah lebih RM4 juta.

“MOSTI sentiasa bersedia menggalakkan pembangunan teknologi baharu dan lebih daripada bersedia untuk menyediakan sumber serta memberi sokongan padu bagi pembiayaan R&D strategik dan inisiatif pembangunan industri.

“Sumber tenaga yang boleh diperbaharui akan memainkan peranan lebih besar pada masa akan datang,” katanya pada sidang media di majlis menandatangani Perjanjian Perkongsian Teknologi antara Amiran Technology Sdn Bhd (Amiran) dan K.I.S Co Ltd Japan (K.I.S) di sini, semalam.

Menurutnya, K.I.S dikenali sebagai antara pemain utama dalam industri haba suria dan berpengalaman lebih 30 tahun manakala kerjasama dengan Amiran adalah tepat bagi mempercepatkan pembangunan serta aplikasi produk baru bukan sahaja di Malaysia, malah pasaran global.

Beliau berkata, kerjasama itu juga agak unik kerana ia tidak hanya memberi tumpuan kepada pembangunan produk, tetapi juga modal insan melalui pembangunan vendor.

“Selain itu, melalui agensi seperti MyInvent juga akan menjadi pemangkin kepada kedua-dua negara bagi meneroka peluang lain dalam sektor tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Kerjasama antara Amiran dan K.I.S meliputi fabrikasi, pengeluaran dan integrasi Penjana Gas Hibrid Tenaga Synfuel berdasarkan reka bentuk konsep dari Amiran untuk membangunkan Sistem Kuasa Super Solar Hibrid dengan Modul Penjanaan Tenaga Hidrogen, aktiviti R&D, pemasaran dan promosi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2015 @ 2:46 PM