JAMALUDIN
JAMALUDIN
Nora Mahpar

Kuala Lumpur: Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) melakar pencapaian penting dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama China Construction Bank (CCB) untuk menubuhkan dana teroka baru, Dana Teknologi Hijau Asia bernilai AS$200 juta (RM782 juta).

Ketua Pegawai Eksekutif MAVCAP, Jamaludin Bujang berkata, dana yang pertama seumpamanya di Asia itu memberi tumpuan terhadap pertumbuhan dan pembiayaan peringkat akhir bagi projek berkaitan inovasi dan teknologi hijau yang berkembang di Malaysia dan Asia.

“Ketika ini kami sudah mengenal pasti beberapa syarikat yang menjalankan projek berimpak tinggi dan perbincangan lanjut dijalankan.

“Bagi dana ini, kami akan memulakan dengan satu atau dua projek di Malaysia dan kemudian melihat kepada potensi di negara rantau Asia lain,” katanya selepas majlis MoU di Hong Kong, baru-baru ini.

MoU itu ditandatangani Pengerusi MAVCAP, Datuk Noharuddin Nordin dan CCB International diwakili Ketua Bahagian Perbankan Pelaburannya, Simon Lee serta Ketua Pengurusan Portfolio, Tony Hung.

Jamaludin berkata, menerusi Dana Teknologi Hijau, pihaknya berharap dapat mengenal pasti, melabur dan mengembangkan operasi syarikat teknologi tempatan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dan menyokong pembangunan ekosistem teknologi hijau di rantau ini.

“Kami sasar untuk mengembangkan jumlah dana sebanyak AS$600 juta dalam tempoh dua tahun. Kami melihat pulangan pelaburan bagi dana ini antara 10 hingga 15 peratus,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai potensi besar dalam sektor teknologi hijau kerana ia disokong inisiatif kerajaan yang menggalakkan syarikat tempatan menceburi sektor berkenaan.

“Malaysia mempunyai struktur yang baik bagi teknologi hijau dan ia memudahkan kami sebagai pelabur. Pada dasarnya, idea menubuhkan dana ini bermula sejak dua tahun lalu apabila kita mengadakan perbincangan dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan kita mahu ia dilaksanakan lebih meluas (luar Malaysia),” katanya.

Beliau berkata, kira-kira AS$7.8 trilion nilai pelaburan diperlukan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui di peringkat global.

“Kebanyakan permintaan adalah dari negara Asean dan Asia. Ini kerana kebanyakan kawasan terpencil masih berdepan kekangan teknologi hijau dan memerlukan pelaburan dalam hidro solar mini. Jadi kita rasa inilah masa yang tepat untuk lancarkan dana ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 1:26 AM