BIDANG fesyen sentiasa memerlukan cetusan idea segar.
BIDANG fesyen sentiasa memerlukan cetusan idea segar.
Fazurawati Che Lah


BIDANG fesyen menjadi satu daripada pilihan pengajian yang paling mendapat sambutan dalam kalangan pelajar lepasan sekolah.

Menyedari hakikat itu, pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta turut menawarkan program rekaan fesyen yang dianggap glamor.

Dulu bidang itu dimonopoli wanita, sebaliknya kini lelaki turut mengambil bahagian hingga menampilkan beberapa nama besar dalam dunia fesyen dan peragaan di dalam atau luar negara.

Pereka fesyen, Mohamad Kashfi Mohd Zulkufli, 31, atau lebih dikenali dengan nama Kashfi Zulkufli menggalakkan golongan muda dan belia menceburi bidang kemahiran itu bagi memenuhi keperluan tenaga mahir dalam industri fesyen.

“Sebagai pereka yang sudah bergiat lapan tahun dalam industri ini, saya melihat bidang fesyen akan terus berkembang pada masa hadapan kerana banyak institusi dan pusat pengajian melahirkan pereka muda kreatif serta berdaya saing.

“Pereka muda pada masa kini diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan dan mereka turut menzahirkan kreativiti melalui imaginasi. Ini memberi satu perkembangan yang baik bagi bidang fesyen akan datang,” katanya.

Anak muda itu adalah graduan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang Filem, Teater dan Animasi (FITA) dan bekas pelajar International Academy of Fashion Design (IFTC).

KASHFI
KASHFI

Menurut Kashfi, permintaan terhadap bidang fesyen pada masa kini boleh dianggap tinggi kerana masyarakat melihat dengan adanya aliran fesyen dari aspek pemakaian, mereka dapat mengenakan gaya yang diminati dalam menjalani rutin atau pekerjaan seharian.

“Dengan adanya penerapan gaya dan fesyen bersesuaian, secara tidak langsung masyarakat berasa mereka tidak ketinggalan, malah seiring dengan arus fesyen yang ada di luar negara,” katanya.

Pemilik butik Kashfi Creation itu turut mengakui perkembangan bidang fesyen yang semakin rancak turut menyumbang kepada pembangunan negara.

Katanya, selain minat mendalam, pereka perlu menitikberatkan elemen disiplin, positif, jujur memberikan komitmen tinggi dan menawarkan perkhidmatan terbaik terutama ketika berurusan dengan pelanggan.

Bidang rekaan fesyen menjanjikan cabaran baharu setiap hari, antaranya persaingan yang semakin sengit, perubahan trend semasa dan cetusan idea segar terutama daripada generasi muda.

“Bidang fesyen berkembang pesat, jadi pereka tidak boleh leka menghasilkan rekaan semata-mata, sebaliknya sentiasa berusaha mengukuhkan jenama, menghasilkan rekaan terbaik dan unik supaya diterima pasaran.

“Kemahiran boleh dibentuk dan dipelajari, tetapi visi serta semangat jitu adalah nilai paling penting untuk membantu seseorang terus menapak kukuh dalam industri fesyen diceburi,” katanya yang turut dilantik sebagai duta untuk Kahwin Je 2018/2019.

ANTARA hasil rekaan Kashfi.
ANTARA hasil rekaan Kashfi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 10:04 AM