KASHFI (kiri) melalui pelbagai cabaran untuk membina jenamanya di dalam industri fesyen.
KASHFI (kiri) melalui pelbagai cabaran untuk membina jenamanya di dalam industri fesyen.
Hafiz Ithnin


"Semua orang bergelang tangan, saya seorang bergelang kaki, semua orang berkata jangan, saya seorang ikutkan hati," begitu antara pegangan pereka fesyen berusia 34 tahun ini.

'Menyelak' media sosial miliknya, pasti bagi mereka yang tidak mengenali Mohamad Kashfi Mohd Zulkifli atau mesra disapa Kashfi ini pasti dianggap memilih golongan kayangan saja sebagai pelanggannya.

Mana tidaknya, berbaris golongan ternama termasuk kerabat diraja dan selebriti tempatan mendapat sentuhan eksklusif anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

"Saya tidak mengamalkan konsep memilih pelanggan. Seni dan karya yang dimiliki saya adalah

hak pencipta, adakah ia menjadi hak saya untuk menjadi pemilih?" tegas insan berbakat ini kepada penulis.

Malah, Kashfi dilihat tidak meletakkan 'persempadanan' kerana pelanggan adalah rezeki yang luas buatnya.

Tahun ini adalah tahun ke sepuluh Kashfi membina jenamanya dalam industri fesyen tempatan. Ketika belum lagi bergelar graduan dalam bidang fesyen, Kashfi sudah memiliki firma fesyen sendiri pada usia 23 tahun.

Sengaja penulis bertanya soal latar belakang keluarganya, dia mengakui ibu dan ayahnya mempunyai profesion profesional iaitu bapanya doktor dan ibunya bergelar akauntan di sebuah firma swasta.

Namun katanya, profesion ibu dan bapanya bukan menjadi ukuran untuknya membina perniagaan dalam industri fesyen.

"Tiada sesen pun wang mereka saya gunakan untuk membina perniagaan ini. Jika tidak, perlukah saya sentiasa bekerja setiap kali cuti semester ketika menuntut di universiti demi mencari wang poket dan mengumpul modal perniagaan.

"Apabila sudah biasa hidup berdikari, kita akan lebih hargai dan faham erti untuk terus maju ke hadapan. Jangan takut untuk mengambil risiko kerana jika gagal, ia menjadi teladan terbaik dalam kehidupan," katanya.

Bercerita lanjut mengenai latar belakang pembabitannya di dalam industri itu, Kashfi mengakui mula serius sejak di universiti.

SENTIASA mencari kelainan dalam mencipta rekaan fesyen.
SENTIASA mencari kelainan dalam mencipta rekaan fesyen.

"Saya mula terbabit dalam bidang fesyen pada 2012 apabila mula bekerja sebagai pembantu pereka kepada Akma Suriati Awang dalam menyempurnakan beberapa projek bersama beliau seperti Citrawarna, The Sybil Kathigasu Story dan Puteri Gunung Ledang di Singapura.

"Pada ketika itu saya tidak pernah terfikir bahawa saya akan meneruskan langkah sebagai pereka. Saya begitu yakin dengan Akma Suriati kerana dia mempunyai kerjaya yang sangat hebat dalam bidang fesyen.

"Selepas tamat sebagai pembantu pereka, saya berkhidmat pula sebagai perunding gaya di sebuah televisyen swasta selama setahun," katanya.

Jelasnya, pengalaman bergelar perunding gaya itu mendorongnya untuk mempunyai label sendiri yang pada hari ini dikenali sebagai Kashfi Zulkifli.

"Pencapaian tertinggi saya sepanjang bergelar pereka, apabila terpilih untuk mementaskan rekaan 'The Lady Of Mia: The Revenge Women' di Asian Fashion Week 2013 sebagai pereka muda.

PELBAGAI anugerah diraih.
PELBAGAI anugerah diraih.

"Pada ketika itu saya diberi masa selama dua minggu untuk menyempurnakan koleksi saya itu. Syukur koleksi dan pertunjukkan fesyen itu membuka mata banyak pihak," katanya.

Bermula dari itu, Kashfi mendapat tawaran buat pertama kali untuk bekerjsama dengan seorang usahawan yang berasal dari Brunei untuk memperluaskan jenamanya di sana.

"Selain itu juga sepanjang saya bergelar pereka, saya berpeluang menghasilkan beberapa rekaan buat keluarga kenamaan dan keluarga diraja.

"Pencapaian yang lain juga pada 2017 ialah saya menerima anugerah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan menyandang Anugerah Ikon FITA UiTM," katanya.

MAMPU berada di tahap selesa dengan mempunyai butik pameran yang lengkap.
MAMPU berada di tahap selesa dengan mempunyai butik pameran yang lengkap.

Bercerita mengenai forte dalam rekaannya yang dirasakan mampu menarik perhatian peminat fesyen tempatan katanya, dia lebih suka bermain dengan unsur-unsur drama pada rekaan.

"Jadi, saya mengetengahkan elemen folding, flair, volumes dan beberapa teknikal lain untuk memperlihatkan identiti saya sebagai pereka.

"Saya mengetengahkan elemen perincian yang agak eksklusif, lebih menonjol dan nampak mewah. Sepanjang saya bergelar pereka, elemen ini yang saya terapkan bagi mendapat sambutan ramai," katanya.

Ditanya mengenai cabaran selama dia berada dalam industri ini, akuinya tidak dinafikan penangan Covid-19 mengakibatkan perniagaannya terkesan.

"Ia sesuatu yang di luar jangka. Ketika itu, saya baharu saja memperluaskan butik. Saya perlu berpindah rumah untuk mengurangkan kos sara hidup kerana di bawah saya ada kakitangan yang perlu diberikan gaji.

"Meskipun saya mengalami masalah perniagaan ketika itu, tiada seorang pekerja pun saya berhentikan kerana bagi saya mereka adalah tulang belakang saya selama ini," katanya.

Katanya, mungkin hikmahnya, daripada 11 orang kini dia menggajikan 17 kakitangan. Rezekinya juga sentiasa ada.

"Pada saya, di dalam dunia fesyen ini bukan sekadar berkarya, tetapi kita perlu menghargai dan berkongsi rezeki kerana ia akan lebih membantu kita ketika berdepan cabaran dan mudah menanganinya.

"Jangan hanya mengejar keuntungan," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 7:00 AM