MOHD Nizar (tengah) bersama Altimet dan seorang lagi rakan dikenali sebagai Greg.
MOHD Nizar (tengah) bersama Altimet dan seorang lagi rakan dikenali sebagai Greg.
MOHD Nizar menyandang tugas sebagai pereka fesyen, usahawan francais dan pereka dalaman serentak.
MOHD Nizar menyandang tugas sebagai pereka fesyen, usahawan francais dan pereka dalaman serentak.
MOHD Nizar bersama model cilik.
MOHD Nizar bersama model cilik.
Intan Mas Ayu Shahimi


MEMPUNYAI dua kerjaya dalam satu masa bukanlah mudah. Inikan pula menggalas tiga komitmen berlainan sekali gus. Kata orang, ada padi, semua kerja jadi. Asalkan mampu menggalas tanggungjawab dengan baik, tidak mustahil sesiapa pun boleh meraih kejayaan dengan mudah.

Melihat kemampuan Mohd Nizar Manaf menyandang tugas sebagai pereka fesyen, usahawan francais dan pereka dalaman serentak, timbul rasa ingin tahu bagaimana anak lelaki tunggal dalam keluarga ini menguruskan kerjayanya. Itu tidak termasuk komitmen hakikinya terhadap keluarga.

Kata Mohd Nizar, sebelum menjadi pereka fesyen dan memiliki jenama pakaian sendiri, dia gigih membina kerjaya sebagai pereka dalaman di firma milik sendiri, Benua Unit Design.

Memiliki Ijazah Sarjana Muda Seni Bina dari Liverpool John Moores University, lelaki ini sebenarnya banyak menumpahkan bakat di ruang pejabat syarikat korporat tersohor negara.

Biarpun demikian, bakat dalam bidang fesyen lebih banyak menaikkan popularitinya sebagai individu kreatif. Bahkan bidang fesyen juga dilihat membuka ruang lebih luas untuk Mohd Nizar terus menjulang namanya setanding pereka terkenal dunia.

Bercerita lanjut mengenai dirinya, Mohd Nizar berkata, dia memilih melebarkan bakat dalam bidang rekaan fesyen dan tampil dengan jenama sendiri kerana cinta mendalam terhadap industri kreatif.

“Sebagai individu yang mempunyai latar belakang pengajian dalam bidang seni bina, saya melihat industri ini tidak khusus kepada seni bina saja. Ia sentiasa boleh dikembangkan hingga mencapai tahap penjenamaan menyeluruh.

“Kalau dilihat daripada garis mula, gerak kerja dalam industri fesyen ini sebenarnya bermula tanpa dirancang. Ketika itu saya bersama Altimet dan kami memang suka meneroka pelbagai jenis perniagaan.

“Atas dasar ingin tahu yang tinggi dan rasa ingin mencuba, saya nekad mempelajari selok-belok dunia rekaan fesyen daripada asas. Daripada sekadar mencuba itulah akhirnya ia menjadi serius,” katanya.

MOHD Nizar menyandang tugas sebagai pereka fesyen, usahawan francais dan pereka dalaman serentak.
MOHD Nizar menyandang tugas sebagai pereka fesyen, usahawan francais dan pereka dalaman serentak.

Cabaran berbeza

Adat terjun ke bidang berlainan, Mohd Nizar tidak dapat lari daripada menempuh banyak siri ujian dan cabaran untuk membolehkan dirinya terus berdiri dan melangkah dengan stabil.

“Hendak menjadi pereka fesyen ini menuntut banyak usaha dan kesungguhan. Saya perlu belajar dengan cepat, mengadaptasi setiap perkara di sekeliling dan kena cuba mencari hala tuju tersendiri.

“Semua ini bukan mudah. Untuk mahir, saya mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun dan perlu sentiasa fokus. Saya percaya, pembelajaran dalam dunia fesyen ini tidak pernah terhenti dan kini masih belajar.

“Kekuatan saya adalah isteri. Dia banyak memberi dorongan dan sokongan. Bahkan isteri adalah penyokong nombor satu saya. Tanpa dia, saya percaya segalanya adalah mustahil untuk dicapai,” katanya.

Tidak ketinggalan cerita sibuknya menguruskan perniagaan francais dan kerjaya hakiki di firmanya, kata Mohd Nizar, dia bersyukur kerana diberi kekuatan dan kemampuan untuk menguruskan semua komitmen dalam satu masa.

“Setakat ini, semuanya berjalan seiring. Sudah tentu banyak masa diperlukan untuk menguruskan setiap satu daripadanya, tetapi saya seorang yang suka belajar. Saya banyak belajar daripada rakan (Altimet) dan kesibukan dia sebenarnya berganda daripada saya.

“Cuma, dalam mengejar kejayaan hidup, ada banyak pengorbanan yang perlu dilakukan. Kalau orang lain boleh melelapkan mata pada sebelah malam, saya pula perlu berkerja selepas anak tidur.

“Saya perlu memastikan kerja rekaan dan isinya dapat diterjemah setiap hari. Semua ini penting, terutama dalam era serba pantas kini. Saya percaya setiap hasil kerja dan perkembangan berkaitannya perlu dipaparkan di saluran media sosial untuk lebih penambahbaikan pada masa akan datang,” katanya.

Jelas Mohd Nizar, dia berbangga apabila hasil penat lelahnya berjaya dipentaskan di Minggu Fesyen Malaysia, Minggu Fesyen Kuala Lumpur dan acara Stylo Mercedes Benz. Malah, pakaian rekaannya kini juga berjaya menembusi pasaran gedung fesyen utama di seluruh negara.

“Alhamdulillah, siapa sangka kerjaya dalam fesyen dan tanggungjawab mengemudi dua kerjaya lain banyak mempengaruhi kualiti dalam diri. Saya menjadi seorang yang lebih sabar dan memahami orang lain. Saya temui semangat setia kawan dan belajar kalah dan menang adalah asam garam kehidupan. Saya percaya, kita mesti selalu reda dan syukur.

“Saya selalu berasakan kerjaya sebagai pereka dalaman dan pereka fesyen adalah yang terbaik di dunia. Proses analisis, kajian, seterusnya penyiapan, hinggalah ke penghasilan produk, ia menjanjikan kepuasan yang tinggi.

“Selain itu, saya juga gembira dapat menyumbang pada komuniti fesyen lelaki tempatan yang agak kurang penampilan. Setakat ini, koleksi santai yang kami pamer sesuai dipakai masyarakat umum Malaysia, tidak kira bangsa dan agama. Bagaimanapun, saya percaya setiap lelaki berupaya menyerlahkan potensi diri dalam apa saja bidang kerjaya dengan sedikit perancangan,” katanya.

MOHD Nizar (tengah) bersama Altimet dan seorang lagi rakan dikenali sebagai Greg.
MOHD Nizar (tengah) bersama Altimet dan seorang lagi rakan dikenali sebagai Greg.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 2:16 PM