ANTARA koleksi fesyen Mohamad Kashfi.
ANTARA koleksi fesyen Mohamad Kashfi.
Hajahfarhana Tarmudi


“Saya sukakan keindahan dan kecantikan pada pakaian atau ruang yang dilihat. Ia membuatkan saya rasa gembira dan puas. Justeru, jika ada peluang depan mata, saya gunakan sehabis baik untuk berkarya dengan lebih kreatif.

“Namun, tidak sesekali saya ambil jalan pintas untuk berjaya sebaliknya lebih suka bermula dari bawah agar jenama ini mampu bertahan lama,” kata pereka fesyen muda, Mohamad Kashfi Mohd Zulkufli.

Minatnya dalam industri fesyen dilihat jelas apabila anak ketiga daripada lima beradik ini begitu gemarkan penampilan kemas dan menarik bukan saja pada diri sendiri tetapi ahli keluarganya yang lain.

Dia lebih peka terhadap industri fesyen dan trend semasa dan mahu tampil dalam industri selebriti untuk menyempurnakan penampilan lengkap sekali gus memperbaiki imej mereka.

“Saya lebih gemar bekerja di belakang tabir iaitu membantu menyiapkan rekaan dan menyempurnakan penampilan selebriti berbakat sebelum berada di atas pentas.

“Minat dalam dunia fesyen begitu mendalam sejak kecil dan sepanjang pengajian, gaya saya yang lebih menonjol mengikut fesyen semasa sekali gus dilihat oleh pensyarah sebagai pelajar yang mampu pergi jauh dalam bidang ini.

“Ilmu ini sangat luas dan saya mengambil kursus di International Fashion Training Centre (IFTC) untuk mendalami bidang fesyen ini ketika masih belajar dalam jurusan seni persembahan,” katanya.

Ketika berusia 22 tahun, dia diberi peluang bekerja secara sambilan dengan pembuat kostum dan pereka fesyen terkenal, Akma Suriati Awang ketika cuti semester.

Walaupun berpengalaman bertugas sebagai pembantu pereka fesyen yang banyak mengendalikan pengeluaran dan komunikasi bersama tetamu kehormat, dia sedar masih terlalu banyak ilmu yang perlu ditimba untuk masa depan lebih cerah.

Bekerja kontrak selama lima bulan memberi kenangan manis dan pengalaman berharga apabila diberi kepercayaan membantu menyempurnakan penampilan dalam teater muzikal Puteri Gunung Ledang di Singapura.

Kemudian, pada saat dia mencari kerja dalam bidang diminati itu, tanpa disangka dilamar syarikat televisyen terkemuka sebagai penata gaya fesyen.

Diterima bekerja di stesyen televisyen terkenal dijadikan sebagai platform bagi mengembangkan namanya dan bermula sejak itu jiwanya membuak-buak untuk serius dalam industri fesyen.

MENARIK, DRAMATIK

Ketika masih bekerja, tercetus idea untuk menghasilkan rekaan baju dengan jenama sendiri. Selepas setahun menimba pengalaman, akhirnya dia tekad bekerja sendiri sebagai pereka fesyen dan membuka syarikat pada 2012 dengan nama Kashfi Zulkufli.

Memang tidak dinafikan ramai yang sukar mengeja dengan betul nama jenamanya namun dia mempunyai cara tersendiri untuk memastikan labelnya dikenali secara perlahan-lahan.

“Saya mula menghasilkan rekaan baju gaun malam dan sut lelaki untuk digayakan oleh selebriti. Tanpa disangka permintaan semakin meningkat dan saya mula menjalankan aktiviti pemasaran agar jenama terus berkembang serta dikenali.

“Saya tidak pernah putus asa dan lakukan semua tugasan dengan bersungguh-sungguh hingga ramai mengenali tanda pengenalan rekaan saya yang dramatik.

“Setiap rekaan saya banyak bermain dengan elemen lipatan, beropol, panjang dan kembang. Saya bersyukur kerana idea saya diterima oleh beberapa artis terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza, Datin Alyah, Rozita Che Wan, Stacy Anam, Neelofa, Ayda Jebat, Zahnita Wilson, Adira, Lisa Surihani, Indah Ruhaila, Emma Maembong dan Awal Ashaari,” katanya.

Baginya perkara paling penting yang dipegang hingga ke hari ini ialah ikhlas, jujur dan amanah dalam menyempurnakan setiap tempahan yang diterima.

“Saya bermula dengan menyewa ruang kedai yang kecil dan ketika itu cuma memiliki empat kakitangan saja. Namun, lama-kelamaan apabila kakitangan semakin ramai dan tempahan juga meningkat, saya berpindah ke lokasi sekarang,” katanya.

Pada 2013, hasil kreativitinya semakin diminati dan dia diberi peluang bekerjasama dengan sebuah butik di Brunei untuk mewarnai majlis perkahwinan di sana dengan hasil sentuhannya yang menarik.

Brunei bagaikan rumah kedua, masanya banyak diisi dengan rekaan pakaian yang ditempah sama ada di negara terbabit atau di tanah air sendiri. Setahun menyumbang karya sentuhan fesyen di sana, dia kembali memberi fokus terhadap industri fesyen di negara sendiri untuk melebarkan sayap jenama sendiri.

Kini, dia berbangga kerana diberi peluang dan berjaya menyempurnakan pakaian untuk kerabat diraja, tetamu kehormat selain artis atau nama besar lain dengan baik.

Bermula dengan empat kakitangan kini bertambah kepada 10 orang (bahagian pengeluaran), lapan (bahagian hiasan dalaman) dan empat (dekorasi pelamin).

“Setiap kakitangan memiliki bilik sendiri mengikut tugasan atau bahagian masing-masing. Ruang privasi yang disediakan itu bertujuan untuk menggalakkan pekerja meluahkan kreativiti masing-masing dengan lebih baik.

“Pada masa sama, saya didik pekerja supaya tidak sombong dan melayani semua pelanggan dengan baik,” katanya.

Jelasnya, dia bukanlah majikan yang suka marah-marah sebaliknya lebih gemar bersikap seperti ketua yang mampu membentuk setiap pekerjanya ke arah yang lebih baik dan menonjol.

Bagaimanapun, dalam kerja dia akui perlu memiliki sikap tegas kerana ia membabitkan amanah daripada pelanggan. Oleh itu, dia sentiasa meletakkan dirinya sendiri di tempat pelanggan agar setiap hasil yang diberikan bertambah baik dari semasa ke semasa.

MINAT JADI SERIUS

Selain rekaan fesyen, pereka muda ini juga begitu menggemari apa saja berkaitan rekaan termasuk menghias ruang bahagian dalam rumahnya dengan sempurna.

Sekadar bereksperimen, namun tidak disangka ia mendapat permintaan dan salah seorang jirannya memberi kepercayaan kepada dirinya untuk menghasilkan hiasan dalaman rumahnya pula.

Sejak itu, permintaan untuk mendapatkan khidmatnya untuk hiasan dalaman meningkat dan pastinya perasaan puas dan menyeronokkan apabila dapat mengubah ruang kosong atau lama menjadi lebih menarik.

“Pada masa sama, ada juga pelanggan yang menempah pakaian untuk perkahwinan meminta bantuan menghias pelamin mereka. Saya tidak mempunyai masalah bermain dengan ruang dan ia menjadi kelebihan bagi saya untuk menghias pelamin atau rumah dengan mudah.

“Saya sangat bersyukur kerana dikurniakan bakat dan kudrat untuk membantu orang lain memudahkan atau menyempurnakan majlis hari bahagia mereka.

“Tentunya hati saya puas dan tidak kurang juga terharu apabila melihat senyuman yang diukir pelanggan tanda penghargaan mereka terhadap sentuhan serta idea yang dikongsi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 12:57 PM