SESI menandatangani buku pelawat bersama pengurusan eksekutif UiTM cawangan Perak.
SESI menandatangani buku pelawat bersama pengurusan eksekutif UiTM cawangan Perak.
Fazurawati Che Lah

SATU daripada kerjaya yang memerlukan kreativiti seseorang adalah bidang seni reka fesyen. Dunia fesyen sentiasa berubah mengikut perkembangan masa dan kepelbagaian rekaan kini dihasilkan berdasarkan cita rasa peminatnya.

Bidang yang dianggap antara kerjaya glamor itu dikatakan mampu memberi pendapatan lumayan selain tidak mengecewakan. Ini kerana rekaan dihasilkan pereka tempatan sering dipertontonkan dalam acara berprestij termasuk di peringkat antarabangsa.

Memeriahkan lagi industri itu, sekumpulan pelajar yang juga pereka muda Jabatan Senireka Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak bertungkus-lumus memperagakan rekaan masing-masing di Pertunjukan Fesyen Diploma (DFS) 2019 yang diadakan di D’Hotel Seri Iskandar, baru-baru ini.

PELAJAR bersama rekaan .
PELAJAR bersama rekaan .

Sebanyak 195 pasang pakaian diperagakan di pentas DFS apabila setiap pelajar diwajibkan menghasilkan tiga rekaan fesyen. Setiap penilaian diadili juri profesional dalam bidang fesyen iaitu Rizman Ruzaini, Mirol Jonit dan Amie Hashim.

Penasihat International Ipoh Fashion Week (IIFW), Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohamed Radzi berharap dengan adanya kualiti pakaian yang diperagakan itu, bidang fesyen akan terus maju bukan sahaja dalam Malaysia, bahkan di seluruh dunia.

“Melalui persembahan peragaan ditampilkan, saya sangat kagum dengan mutu dan kualiti karya pelajar yang bertaraf antarabangsa.

“Kejayaan pelajar ini berkat usaha pensyarah mereka yang bertungkus-lumus dan ini membuktikan UiTM adalah institusi kukuh. Selain sudah lama bertapak dalam industri fesyen dan mempunyai pengalaman dalam menghasilkan mahasiswa pelbagai kemahiran dalam bidang ini,” katanya pada majlis DFS itu. Turut hadir, Rektor UiTM Cawangan Perak, Prof Madya Dr Md Yusof Hamid.

Dr Nomee Ashikin turut mengharapkan kerjasama dengan UiTM cawangan Perak itu dapat diteruskan lagi dalam penganjuran IIFW pada masa akan datang.

DFS ialah penilaian tugasan untuk memenuhi syarat wajib Kursus FES 253 (Pengurusan Fesyen) dan FES 302 (Senireka Fesyen) mahasiswa jabatan itu.

Penganjuran DFS kali ini menampilkan tema Kembali Kepada Asas iaitu pelajar mengetengahkan idea baharu dengan penerapan elemen asas dalam kehidupan seharian dan diterjemahkan melalui rekaan pakaian.

REKAAN menarik yang dihasilkan pelajar.
REKAAN menarik yang dihasilkan pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 12:35 PM