LITAR Jerez akan menjadi penampilan terakhir Hafizh di WSBK.
LITAR Jerez akan menjadi penampilan terakhir Hafizh di WSBK.
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Selepas dua musim beraksi di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK), pusingan terakhir di Sepanyol minggu ini akan menjadi penampilan terakhir pelumba berpengalaman negara, Hafizh Syahrin Abdullah pada perlumbaan berprestij itu.

Ini kerana, pelumba berusia 29 tahun itu akan meneruskan kariernya dengan memberi fokus kepada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) pada musim depan bersama JDT Racing Team.

Hafizh yang ketika ini beraksi bersama Petronas MIE Racing Honda Team terus kekal bersemangat mengharungi perlumbaan minggu ini di Litar Jerez meskipun sering berdepan kekecewaan pada musim ini.

"Saya tidak pernah beraksi di Jerez dalam perlumbaan Superbike, tetapi saya mengenali litar ini dengan agak baik kerana pernah berlumba ketika beraksi di Moto2.

"Saya tak tahu bagaimana 'perwatakan' jentera di litar ini tetapi kami akan mengambil pendekatan seperti biasa, iaitu cuba untuk mempamerkan peningkatan dan berusaha mendapatkan kelajuan diperlukan pada jentera.

"Saya amat menantikan perlumbaan minggu ini," kata Hafizh yang kini mengumpul 10 mata selepas 11 pusingan perlumbaan.

Johor Darul Ta'zim (JDT) yang terkenal dengan sukan bola sepak, sebelum ini sudah pun mengesahkan akan memperluaskan jenama mereka apabila menaja Hafizh untuk saingan ARRC pada musim 2024.

Selain bola sepak, JDT turut menceburi beberapa sukan lain seperti futsal, polo, tinju dan hoki ais.

Hafizh juga bukan asing dalam dunia permotoran negara apabila pernah membuat kemunculan dalam perlumbaan Moto2 dan kelas perdana MotoGP di Kejohanan Motosikal Dunia sebelum berhijrah ke saingan WSBK.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 1:20 PM