HAFIZH kekal beraksi bersama MIE Honda Racing pada musim ini. FOTO Hafizh Syahrin
HAFIZH kekal beraksi bersama MIE Honda Racing pada musim ini. FOTO Hafizh Syahrin
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pelumba motorsikal negara, Hafizh Syahrin Abdullah dijanjikan jentera baharu oleh pasukannya, MIE Honda Racing untuk mengharungi Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) yang akan membuka tirai 24 Februari depan.

Ia sudah pastinya mengukir senyuman kepada Hafizh memandangkan jenterannya sebelum ini kerap mengalami masalah menyebabkannya hanya menghabiskan saingan di tangga ke-24 selepas mengumpul 10 mata.

Hafizh berkata, dia dijanjikan jentera serta sistem penalaan yang baharu bagi membantu mencapai misi 10 terbaik yang pernah disasarkannya sebelum ini.

"Saya berterima kasih pasukan terus menaruh kepercayaan kepada saya untuk tahun kedua, kerana saya memang memberikan komitmen yang tinggi dan akan sedia memberikan komen jujur tentang apa yang diperlukan pasukan untuk mempertingkatkan prestasi, dan mereka juga dapat menerimanya.

"Kita memerlukan pakej yang lebih baik, misalnya jika kita menggunakan jentera Honda, kita perlu setidaknya-tidaknya menyamai spesifikasi dan pakej dengan pasukan utama (factory), dan itu juga janji pasukan kepada saya untuk tahun ini, dan itu juga menjadi faktor utama saya menyambung kontrak dengan pasukan.

"Saya mungkin akan dapat menguji jentera baru bulan ini ketika sesi ujian rasmi di Portimao,Portugal dan seterusnya mungkin dapat mengujinya lagi di Phillips Island, Australia sebelum saingan bermula, jadi saya harap dapat melakukan yang terbaik," katanya.

Selain itu, Hafizh berkata, dia kini sudah memahami lebih mendalam tentang perlumbaan di WSBK dan ia dirasakan sangat berharga dalam usaha untuk dia meneruskan perjalanannya di pentas itu untuk 2023.

"Kalau nak ikutkan dari awal musim 2022 saya dah ada keyakinan kerana kebanyakkan pelumba yang bersaing dengan saya di WSBK, adalah pelumba sama yang pernah bersaing di Kejohanan Dunia MotoGP, ada diantara mereka saya pernah tewaskan dan berikan saingan, jadi saya harap pakej yang saya terima nanti mampu membantu saya meningkatkan prestasi," katanya.

Hafizh sebelum ini menghabiskan tempoh 10 tahun beraksi di saingan Moto2 dan MotoGP dan pernah meraih podium sebanyak dua kali pada 2017 bersama pasukan Petronas Raceline Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 4:52 PM