HAFIZH Syahrin ketika perlumbaan pusingan pertama WSBK di Litar MotorLand Aragon, Sepanyol. FOTO ihsan Mie Racing Honda.
HAFIZH Syahrin ketika perlumbaan pusingan pertama WSBK di Litar MotorLand Aragon, Sepanyol. FOTO ihsan Mie Racing Honda.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Meskipun gagal mengutip mata pada pusingan pertama Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) di Litar MotorLand Aragon, Sepanyol, pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah tetap positif dengan penampilan kali pertamanya di perlumbaan berprestij itu.

Hafizh yang beraksi dalam kelas WorldSBK bersama pasukan Mie Racing Honda, menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-21 manakala Perlumbaan 2 di kedudukan ke-20.

"Pada Perlumbaan 2 saya berasa lebih baik. Pastinya kami belajar sesuatu pada setiap sesi dan setiap kali menunggang jentera.

"Ia bukanlah minggu yang mudah untuk kami. Agak mencabar untuk mendapatkan cengkaman terutama di bahagian belakang, untuk menghentikan motosikal dan ketika membelok.

"Kami mempunyai masa agak singkat untuk menguji jentera berbanding pelumba lain," kata pelumba negara berusia 27 tahun itu.

Hafizh berkata, keputusan di Aragon membuatkannya cukup teruja untuk memperbaiki prestasi pada perlumbaan pusingan seterusnya di Litar Assen, Belanda bermula 22 hingga 24 April ini.

"Kami akan cuba memperbaiki setiap aspek. Motivasi dan fokus kami sangat tinggi kerana sedar setiap individu dalam pasukan mahukan pencapaian lebih baik.

"Ini baru titik permulaan dan kami berjaya menamatkan perlumbaan. Banyak kami pelajari dan berharap akan menjadi lebih baik dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 4:46 PM