PEMANDU Red Bull, Max Verstappen memenangi perlumbaan GP Perancis, hari ini. FOTO AFP
PEMANDU Red Bull, Max Verstappen memenangi perlumbaan GP Perancis, hari ini. FOTO AFP
Reuters

Le Castellet, Perancis: Pemandu Red Bull, Max Verstappen memenangi Grand Prix (GP) Perancis, hari ini dan semakin menghampiri gelaran juara Formula Satu dunia buat kali kedua selepas pemandu Ferrari, Charles Leclerc terbabit kemalangan ketika mendahului.

Juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton finished menduduki tempat kedua bersama Mercedes pada GP ke-300 buatnya manakala rakan sepasukan, George Russell menduduki tempat ketiga, sekali gus menaiki podium berganda buat kali pertama musim ini.

Kemenangan dalam cuaca panas di Le Castellet adalah yang ketujuh daripada 12 perlumbaan musim ini dan yang ke-27 dalam kariernya.

Dia kini mendahului dengan kelebihan 63 mata - lebih daripada dua kali menang sirkit - mengatasi Leclerc, dengan baki 10 lagi perlumbaan.

"Saya fikir kami memiliki kelajuan yang baik sejak awal dan saya terus memberi tekanan kepada Charles," kata pemandu Belanda berusia 24 tahun itu yang turut memenangi perlumbaan di Sirkit Paul Ricard itu, tahun lalu.

"Berdasarkan situasi semasa terutama bahang cuaca panas, tayar mengalami kepanasan, jadi saya tidak cuba membuat gerakan awal."

Leclerc mendahului perlumbaan selepas bermula dari petak utama sebelum Verstappen memerlukan enam pusingan apabila berjaya merapatkan kedudukan dan cuba mengasak.

Pada ketika dia mengekori rapat di laluan lurus, Leclerc memiliki kelebihan di selekoh dan kekal di depan menjadikan perlumbaan itu sebagai pertarungan peribadi antara kedua-duanya.

Pemandu Ferrari itu kemudian berada jauh di depan dan apabila menyedari keperluan menjaga tayar, Verstappen membuat pitstop pertama di pusingan ke-16 sebelum segala-galanya berubah pada pusingan ke-18.

Pemandu Ferrari itu menjerit tanda kecewa di radio selepas keretanya berpusing dan terbabas ke penghadang tayar di Le Beausset.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2022 @ 8:21 AM