HANNAH (dua, kiri) semasa sidang media mengumumkan syarat-syarat pelepasan cukai bagi latihan sukan di Kementerian Belia dan Sukan hari ini. -FOTO Bernama
HANNAH (dua, kiri) semasa sidang media mengumumkan syarat-syarat pelepasan cukai bagi latihan sukan di Kementerian Belia dan Sukan hari ini. -FOTO Bernama
Oleh Saiful Affendy Sapran


Putrajaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meminta Menteri Besar bagi setiap negeri supaya tidak 'kedekut' apabila anak tirikan portfolio sukan dengan memberikan bajet terhad sekali gus membantutkan pembangunan sukan di peringkat negeri.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, sekiranya kerajaan negeri tidak berani untuk memberikan bajet yang tinggi dalam sektor sukan, maka ia akan mencetuskan masalah untuk membangunkan atlet sehingga ada acara sukan yang terpaksa digugurkan di Sukan Malaysia (Sukma) kerana tidak cukup penyertaan.

"Sebab itu untuk satu-satu sukan itu berjaya, bukan saja perlukan pembabitan MSN (Majlis Sukan Negara) untuk masuk ke Program Podium atau Elit, namun peringkat akar umbi perlukan pembabitan kerajaan negeri.

"Jadi saya minta Menteri Besar, dalam perancangan bajet mereka, pastikan portfolio (sukan) jangan kita anak tirikan. Kalau kita lihat, ada kes di mana negeri-negeri kecil bajet (sukan) mereka tak sampai RM500,000 pun.

"Bagaimana nak buat pembangunan atlet dan pembangunan sukan jika mereka (kerajaan negeri) tidak melabur," katanya pada sidang media pengumuman syarat-syarat pelepasan cukai bagi latihan sukan, hari ini.

Hannah berkata, kadangkala pihaknya sukar untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri terutamanya dalam soal pembangunan fasiliti sukan yang dilihat cukup penting.

"Contohnya, bila kita hendak bantu bangunkan fasiliti kolam renang yang memerlukan pembabitan kerajaan negeri, mereka kata jangan bina kerana kos selenggara mahal.

"Isu seperti inilah yang kami hadapi. Jadi walaupun sukan itu penting, mereka (kerajaan negeri) tak nak terima. Mereka akan lihat dan mempromosi sukan yang senang dijaga.

"Satu lagi contoh geran naik taraf padang untuk liga, ada juga negeri yang tak terima kerana mungkin masanya tak sesuai, tapi saya lihat negeri kena proaktif.

"Program skrin besar pula, kita minta negeri beli skrin besar kerana ia adalah salah satu capaian kepada sukan, tapi itu pun ada negeri yang minta kita bagi duit beli skrin besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 1:32 PM