HANNAH Yeoh ketika sidang media rangkuman prestasi Sukan SEA 2023, di Dewan Casa 4, MSN Bukit Jalil. -FOTO Eizairi Shamsudin
HANNAH Yeoh ketika sidang media rangkuman prestasi Sukan SEA 2023, di Dewan Casa 4, MSN Bukit Jalil. -FOTO Eizairi Shamsudin
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Angkara politik, sukan merana, itulah yang boleh disimpulkan mengenai situasi di dalam negara sehingga menyebabkan kontinjen negara gagal beraksi cemerlang di Sukan Sea Kemboja dan ia diakui sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Menurut beliau, ketidakstabilan politik negara sejak lima tahun lalu yang menyaksikan perancangan dan persiapan atlet terjejas.

"Sukan menjadi antara sektor yang terkesan kerana apa yang dirancang termasuk program pembangunan dan pelaksanaan strategi tidak dapat dilaksanakan," katanya di Majlis Rangkuman Prestasi Kontinjen Malaysia Sukan Sea Kemboja di MSN pagi tadi.

Ujar beliau, ketidakstabilan politik dalam lima tahun terakhir termasuk dalam sektor ekonomi menyebabkan perkara ini (kegagalan di Sukan SEA) sekarang, sukan menjadi antara sektor yang terkesan.

"Sebab itu, saranan Yang di Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dalam soal kestabilan dalam masa lima tahun sangat penting untuk kita bekerja dan membuahkan hasil.

"Sebelum ini, ada menteri tidak sampai setahun. Keluar bajet, langkah susulan dan melaksanakan strategi tidak sempat. Macam Norza (Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria) cakap sebelum buat sudah tukar dan ada hala tuju baharu," katanya.

Tambah Hannah, disebabkan itu format projek Road to Gold (RTG) menyaksikan beliau perlu duduk bersama dengan MOM supaya kalau salah satu ditukar, ia tetap berjalan dan tidak terganggu.

"Matlamat RTG sekarang adalah mahu memastikan semua pihak berkepentingan bekerjasama untuk membangunkan sukan negara dengan matlamat meraih emas pertama negara di Sukan Olimpik," katanya.

Sementara itu, Norza dalam sidang media yang sama berkata, kegagalan di Sukan Sea tidak sepatutnya diletakkan kepada Hannah dan timbalannya kerana mereka berdua datang ketika sukan negara berada dalam keadaan lemah.

"Saya tahu perkara ini akan berlaku. Hari ini, saya mahu cakap bahawa model sukan kita sudah lapuk dan kena ubah, satu permulaan bagus ialah bila kita ada RTG sekarang dan sepatutnya program yang sama perlu dibangunkan.

"Sebenarnya, sejak Sukan Sea Filipina saya sudah menyuarakan agar perubahan dilakukan namun, kita tiada langkah susulan. Sekarang kita kena lihat semula dan mengharapkan agar kerajaan stabil dan reset semula sukan negara.

"Jangan anak tirikan sukan, ada atlet kita tidak dibayar sepatutnya, jurulatih pun kita tak bayar dengan sepatutnya dan ada antara mereka dapat RM800, duduk dalam bilik tutup penghawa dingin kerana mahu jimat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2023 @ 2:51 PM