MOHAMED Khaled (tengah) bersama penerima sijil sempena Majlis Perasmian Persatuan Belia Xiang Lian Malaysia Cawangan Negeri Johor. FOTO Mohd Sabran Md Sani
MOHAMED Khaled (tengah) bersama penerima sijil sempena Majlis Perasmian Persatuan Belia Xiang Lian Malaysia Cawangan Negeri Johor. FOTO Mohd Sabran Md Sani
Mohd Sabran Md Sani


KERAJAAN negeri akan memberikan insentif antara RM1,500 hingga RM4,000 kepada atlet negeri ini yang meraih pingat sempena Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, bulan lalu.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, garis panduan mengenai insentif itu sudah termaktub sebelum ini berdasarkan jenis pingat dimenangi atlet negeri.

"Kita (kerajaan negeri) memang ada garis panduan (pemberian insentif) bagi mana-mana atlet yang datangnya dari Johor.

"Jika mereka berjaya, dia ada kadar tertentu dan kita akan lihat serta meneliti mengenainya (garis panduan insentif pingat)," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada atlet negeri ini yang berjaya merangkul pingat pada temasya sukan terbabit.

"Saya ambil kesempatan bukan saja tahniah kepada pasukan Malaysia, tetapi atlet yang datangnya dari Johor yang menyumbang kepada kejayaan Malaysia," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan ketika dihubungi mengesahkan mengenai insentif bakal dinikmati atlet Johor yang membawa pingat sempena Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 lalu.

Katanya, atlet meraih emas akan menerima insentif RM4,000, perak (RM2,000) dan gangsa RM1,500.

Bahkan katanya, semua 55 atlet yang menyertai sukan itu diberikan insentif penyertaan berjumlah RM1,000 seorang.

Terdahulu Mohamed Khaled berucap pada Majlis Perasmian Persatuan Belia Xiang Lian Malaysia Cawangan Negeri Johor Bersama Cawangan Daerah dan Jamuan Pemimpin Negeri Johor di Bayu Marina Resort di Johor Bahru.

Hadir sama, Ahli Parlimen Belia Malaysia, Chiong Sen Sen dan Presiden Majlis Belia Negeri Johor, Manndzri Nasib.

Mohamed Khaled dalam ucapannya berkata kerajaan negeri tidak pernah sangsi untuk memberi sokongan dan perhatian khusus bagi menjayakan agenda generasi belia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 4:17 PM