HANNAH (kanan) beramah mesra bersama para pengamal media pada Majlis Ramah Mesra bersama Pengamal Media 2024 di Kelab Golf Negara Subang, Petaling Jaya, semalam. FOTO BERNAMA
HANNAH (kanan) beramah mesra bersama para pengamal media pada Majlis Ramah Mesra bersama Pengamal Media 2024 di Kelab Golf Negara Subang, Petaling Jaya, semalam. FOTO BERNAMA
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata kementerian ketika ini tidak berminat untuk menjadi tuan rumah temasya besar selepas menolak tawaran selaku penganjur temasya Komanwel 2026.

Hannah menegaskan perkara berkenaan selepas ditanya adakah KBS berminat untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia 2038 selepas menolak tawaran Komanwel 2026.

Katanya fokus utama KBS ketika ini adalah untuk pastikan pembangunan bakat tidak tidak terganggu.

Ia adalah penting untuk ekosistem sukan negara agar lebih ramai atlet dapat dihantar menyertai lebih banyak pertandingan,

"Tiada guna kita menjadi tuan rumah tetapi atlet kita tak menang apa-apa. Itu bukan hasrat rakyat Malaysia.

"Sebab itu bila kerajaan buat keputusan untuk menolak menjadi tuan rumah Sukan Komanwel ramai netizen yang menyokong keputusan ini.

"Jadi wang yang diperuntukkan lebih baik digunakan untuk pembangunan bakat yang memberi keutamaan di peringkat sekolah," katanya.

Menjurus ke arah itu, Hannah berkata, beliau akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan sukan akan turut diutamakan selain akademik.

Dalam usaha mengesan lebih ramai atlet, Hannah akan meminta kerjasama KPM memastikan pembabitan semua jenis sekolah dalam pertandingan sukan seperti sekolah antarabangsa, swasta, tahfiz malah turut mengesan mereka yang tidak bersekolah di bawah umur 12 tahun untuk terbabit sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 1:14 PM