HANNAH Yeoh. FOTO AIZUDDIN SAAD
HANNAH Yeoh. FOTO AIZUDDIN SAAD
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Bagi memastikan Malaysia tidak ketandusan pelumba basikal berbakat selepas persaraan Datuk Azizulhasni Awang, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini bakal membangunkan velodrom terbuka bagi kegunaan awam.

Perbincangan berhubung pembinaan velodrom berkenaan sudah pun berjalan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengenal pasti lokasi yang sesuai.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata demikian selepas mendapat pandangan daripada pelumba berbasikal trek negara, Azizulhasni ketika berkesempatan bertemu Olimpian negara itu di Melbourne baru-baru ini.

Malah Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley turut bersetuju dengan pembinaan velodrom terbuka dan ia adalah sesuatu yang realistik kerana kos penyelenggaraan yang kurang berbanding velodrom tertutup.

Antara lokasi yang dikenal pasti ketika ini adalah di sekitar Lembah Klang.

"Selepas mengadakan pertemuan, Bealsey mencadang pembinaan velodrom terbuka kerana kos penyelenggaraan yang kurang.

"Kalau tertutup kosnya agak tinggi sebab memerlukan penyaman udara dan semua itu (infrastruktur yang lain).

"Jadi saya akan melihat lokasi sesuai dan saya sudah mulakan perbincangan dengan DBKL untuk meneliti kawasan mana yang sesuai untuk buat satu velodrom asas buat mereka (komuniti berbasikal)," katanya.

Terdahulu Hannah berkesempatan mengunjungi fasiliti latihan Azizulhasni di Melbourne dan turut dibawa pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu melawat velodrom asas di sana iaitu Velodrom Brunswick.

Azizulhasni dalam hantaran di media sosialnya baru-baru ini berterima kasih kepada Hannah yang mengunjunginya di Pusat Sukan Antarabangsa Darebin (DISC) yang siap dibina pada 2004 dan menjadi pusat latihan bagi atlet berbasikal trek di sana untuk Sukan Komanwel Melbourne 2006.

Selain itu, Hannah turut dibawa berkunjung ke Velodrom Brunswick - velodrom asas yang dibina pada 1956 dan menjadi fasiliti pelbagai guna orang awam untuk melakukan pelbagai aktiviti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 4:09 PM