HANNAH berharap Azizulhasni boleh bantu atlet lain untuk perjuangkan pemikiran yang sama. FOTO SAMADI AHMAD
HANNAH berharap Azizulhasni boleh bantu atlet lain untuk perjuangkan pemikiran yang sama. FOTO SAMADI AHMAD
Zulkarnain Azman


Putrajaya: Setiap atlet di negara ini perlu mempunyai mentaliti seorang juara dan perlu membuang sikap negatif yang menyalahkan sesuatu atas setiap kegagalan mereka seperti yang ditunjukkan jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, semangat yang ditunjukkan Azizulhasni ketika meraih pingat perak acara keirin pada Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Jakarta, Indonesia baru-baru ini perlu dijadikan sebagai contoh walaupun baru selesai menjalani pembedahan jantung terbuka, April tahun lalu.

"Apabila tengok Azizulhasni, dia betul-betul ada kelaparan untuk menang serta memperbaiki diri. Ini adalah mentaliti yang kita perlukan dalam setiap atlet walaupun dia baru sahaja menjalani pembedahan.

"Dia langsung memiliki pemikiran yang tidak mudah memberi alasan dan ia sepatutnya ada dalam setiap jaguh sukan. Azizulhasni sangat cemerlang dalam aspek ini berbanding atlet lain.

"Saya berharap dia boleh bantu atlet lain untuk perjuangkan pemikiran yang sama," katanya ketika ditemui pada Hari Terbuka Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Menara KBS di sini, hari ini.

Di Kejohanan basikal trek UCI di Jakarta, Indonesia, Azizulhasni memenangi pingat perak dalam acara keirin namun terpaksa akur menamatkan saingan dalam acara pecut di tempat ketujuh selepas mengakui kepenatan.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai jaminan KBS untuk terus membantu pelumba berusia 35 tahun berkenaan dalam persediaan menuju ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Dalam masa terdekat ini, kita akan umumkan jawatankuasa 'Road to Gold', saya sedang memperkemaskan semua perkara dan akan membuat pengumuman nanti. Bagi saya dua minggu, (KBS) akan memperkemaskan semuanya," kata Hannah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 2:55 PM