AZIZUL (kanan) yang juga Duta Daikin beramah mesra dengan kanak-kanak kelainan upaya ketika menyampaikan bantuan pada program Dreams Come True di Shah Alam, hari ini. — FOTO BERNAMA
AZIZUL (kanan) yang juga Duta Daikin beramah mesra dengan kanak-kanak kelainan upaya ketika menyampaikan bantuan pada program Dreams Come True di Shah Alam, hari ini. — FOTO BERNAMA
Azlan Muhammad Zain


“HARAP jadilah kali ini.”

Itu reaksi jaguh trek negara, Azizulhasni Awang susulan pengumuman terbaru pembinaan velodromnya yang dijadualkan bermula hujung tahun ini.

Arena Metro melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah menjelaskan kerajaan pusat memperuntukkan RM14 juta bagi membina Velodrom Azizulhasni Awang yang tertangguh sejak sembilan tahun lalu.

Pembinaan velodrom di Kampung Balai Besar, Dungun sudah dua kali diletakkan batu asas oleh Menteri Belia dan Sukan terdahulu menjadi projek gajah putih namun dijangka mula dibina November depan.

“Saya gembira dan bangga dengan perkembangan terbaru ini. Saya akan kembali ke Terengganu minggu depan dan diharapkan dapat duduk bersama pihak pengurusan dan kerajaan negeri bagi melihatnya secara terperinci.

“Harap jadilah kali ini. Terengganu mempunyai ramai pelumba yang bagus, anda lihat saja prestasi pelumba pada temasya Sukan Malaysia. Pembinaan ini secara tidak langsung akan terus berkembang dengan Terengganu menjadi hub berbasikal,” katanya selepas menghadiri program Dreams Come True anjuran Daikin Malaysia Sdn Bhd di Shah Alam, hari ini.

Menurut pelumba bergelar The Pocket Rocketman itu, tiada keperluan untuk membina velodrom yang terlalu canggih atau hebat namun cukup sebagai satu infrastruktur asas.

“Ia velodrom terbuka, sebenarnya bagi velodrom peringkat negeri ia tidak perlu terlalu grand... trek simen pun OK dan ia boleh digunakan masyarakat setempat,” tegasnya.

Kerajaan negeri membayangkan velodrom pertama di negeri itu akan mempunyai trek sejauh 330 meter yang mengambil masa hingga 21 bulan untuk disiapkan dilengkapi dengan ruang legar pelumba, parkir, pejabat, bilik persalinan, surau dan tandas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 8:38 PM