HANNAH ketika sidang media pada Majlis Pelancaran Program Malaysia Aktif @ Komuniti di PPR Taman Bagan Jaya. FOTO Danial Saad
HANNAH ketika sidang media pada Majlis Pelancaran Program Malaysia Aktif @ Komuniti di PPR Taman Bagan Jaya. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil perhatian serius atas kekecewaan diluahkan jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang terhadap Majlis Sukan Negara (MSN).

Ia susulan atlet berkenaan menyatakan bahawa MSN gagal menyediakan sistem sokongan lengkap selepas memindahkan pangkalan latihannya dari Melbourne, Australia ke Velodrom Nasional di Nilai, awal tahun ini.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, beliau percaya bahawa isu yang dibangkitkan itu dapat diselesaikan dengan baik dan meminta semua pihak tidak risau.

Katanya, Jawatankuasa Road to Gold (RTG) juga akan mengadakan mesyuarat untuk melihat dan mengkaji permintaannya sekali gus menjayakan hasrat negara meraih pingat pada Sukan Olimpik Paris 2024.

"Mesyuarat ini akan berlangsung minggu depan dan semua hasrat atlet terpilih ini akan dikaji oleh Jawatankuasa RTG dan saya juga telah hubungi Azizul menerusi koordinator kita, Datuk Stuart Ramalingam.

"Kita akan usahakan yang terbaik untuk atlet kita bagi pastikan peluang Malaysia dapat pingat emas itu cerah. Jangan risau," katanya ketika diminta mengulas berhubung luahan Mohd Azizulhasni terhadap MSN.

Hannah ditemui ketika Majlis Pelancaran Program Malaysia Aktif@Komuniti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Bagan Jaya, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Hannah berkata, KBS melancarkan kelas zumba percuma di 12 PPR meliputi Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan dan Selangor sebagai usaha mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk.

"Kelas ini dijalankan sehingga Disember bagi menggalakkan penduduk untuk menjadikan aktiviti ini sebagai sebagai sebahagian daripada gaya hidup mereka.

"Fasa kedua program akan dilaksanakan di ibu negara dan juga Sabah serta Sarawak," katanya.

Berita berkaitan:

Jijoe 'mengamuk' janji tidak ditepati

Isu Azizul akan dibawa ke mesyuarat RTG

Terengganu sedia bantu Azizulhasni

KBS yakin Jawatankuasa RTG mampu tangani isu Azizulhasni

Amarjit sedia jadi orang tengah

MSN sedia terima kritikan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 1:37 PM