PA’DIN mahu lahirkan lebih ramai jaguh papan selaju negara. FOTO Pa'din Musa
PA’DIN mahu lahirkan lebih ramai jaguh papan selaju negara. FOTO Pa'din Musa
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Walaupun berdepan pelbagai rintangan termasuklah menerima bayaran lambat daripada pihak kontraktor, ia langsung tidak melunturkan semangat legenda pemain papan selaju Malaysia, Ahmad Fadzil Musa dalam menyedia dan membina fasiliti terbaik bagi penggemar sukan itu.

Ahmad Fadzil atau lebih dikenali Pa'din Musa yang sudah terlibat dengan pembinaan skatepark sejak 2003 berkata niatnya membina lebih banyak skatepark ketika ini bukan sahaja mahu memeriahkan lagi industri sukan itu di Malaysia sama seperti era tahun 2000 malah berharap mampu melahirkan lebih banyak jagoan sepertinya yang mengharumkan nama negara baik di pentas dunia atau olimpik.

"Yang itu salah satu faktor (merancakkan kembali industri sukan papan selaju). Sebab sekarang ini kita nampak sukan skateboard dah kembali popular dan mereka lebih memilih bermain di skatepark.

"Sebenarnya bila ada banyak skatepark secara tak langsung orang akan lebih minat bermain kerana ada fasiliti. Sudah tentu akan ada seorang dua yang berbakait dari situ kita ambil dan gilap lagi untuk jadi atlet negara sekali gus mampu jadi atlet papan selaju pertama Malaysia beraksi di pentas olimpik," katanya kepada Arena Metro.

Dalam pada itu, Pa'din turut memberitahu projek terbarunya iaitu Vans Urban Plaza yang merupakan skatepark hasil kerjasama MRT Malaysia dan salah sebuah jenama kasut terkemuka dunia, Vans akan dilancarkan 24 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 4:17 PM