ANTARA aksi LTdL tahun lalu. FOTO FATHIL ASRI
ANTARA aksi LTdL tahun lalu. FOTO FATHIL ASRI
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) tidak bersetuju dengan tindakan yang drastik yang dilakukan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) kerana menggugurkan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dari kalendar mereka tahun ini.

Ia adalah perkara yang tidak adil apabila tiada sebarang notis menerusi email atau sebagainya di berikan kepada PKBM.

Malah perkara itu hanya dimaklumkan selepas beberapa individu melihat perlumbaan berstatus ProSeries tidak tersenarai dalam kalendar perlumbaan LTdL.

Mengakui kecewa dengan isu itu, Presiden PKBM Datuk Abu Samah Wahab memaklumkan hingga kini status penganjurannya masih lagi tergantung.

Kata Abu Samah, andai UCI tetap dengan keputusan untuk tidak membenarkan LTdL dianjurkan tahun ini, ia adalah sejarah yang memalukan buat negara.

Bagaimanapun beliau akur apabila yang berlaku ketika ini didorong imej buruk membabitkan bebanan hutang yang ditinggalkan penganjur sebelum ini iaitu, Human Voyage (HV).

"Sekarang ini LTdL 2023 jadi mangsa. Saya memang tak gembira dengan apa yang dilakukan oleh UCI ini. Mereka tak boleh buat sesuka hati macam ini sebab kita sudah bayar untuk yuran perlumbaan sebanyak RM125,000.

"Kalau ada notis tak apa ini tiada sebarang notis dikeluarkan. Tapi saya faham sebab mereka buat macam ini adalah kerana hutang yang tidak dijelaskan dan jika hutang tidak dijelaskan maka LTdL 2023 akan berkubur," katanya yang turut membawa masalah itu kepada Kesatuan Berbasikal Asia.

Abu Samah ketika majlis pelancaran LTdL 2023 pada 4 Julai lalu mendedahkan menerima surat daripada UCI berhubung tunggakan bayaran penganjur sebelum ini kepada lima pasukan bertanding yang melebihi RM1 juta.

Bagaimanapun beliau dimaklumkan bahawa HV sudahpun membayar separuh daripada hutang mereka kepada lima pasukan berkenaan.

Namun ia tidak cukup untuk Malaysia meyakinkan UCI dan memberi jaminan bahawa perkara berkenaan tidak akan berulang sekiranya ia tidak diselesaikan segera.

Abu Samah berkata, biarpun ia bukan urusan PKBM yang mana ia adalah tanggungjawab pengurusan terdahulu, namun selaku badan induk sukan berkenaan beliau berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat menyelesaikan perkara itu.

"PKBM akan cuba sedaya mungkin untuk menyelesaikan perkara ini dan saya rasa, perlumbaan akan tetap berlangsung seperti yang dijanjikan.

"Mungkin akan ada perkhabaran daripada UCI nanti apabila Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill menghadiri mesyuarat bersama UCI di Glasgow, dua hari lagi," katanya.

Perlumbaan jelajah berbasikal terunggul Asia, LTdL 2023 yang memasuki edisi ke-27 tahun ini, dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 30 September ini membabitkan lapan peringkat perlumbaan merentasi 11 buah negeri di Semenanjung Malaysia dengan jarak keseluruhan sejauh 1,280 kilometer (km).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 5:05 PM