NORZA bersama Hannah Yeoh pada sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Owee Ah Chun
NORZA bersama Hannah Yeoh pada sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Owee Ah Chun
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penubuhan 'Road to Gold' membuktikan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serius dalam merealisasikan impian rakyat Malaysia yang mahukan pingat emas Olimpik dibawa pulang ke tanah air.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang turut dilantik i pengerusi bersama jawatankuasa berkenaan berkata, keputusan itu membolehkan MOM memainkan peranan lebih penting dalam persiapan atlet negara menghadapi temasya utama dan yang paling penting jawatankuasa itu 'kebal' daripada sebarang perubahan kepimpinan kerajaan.

"Saya ucapkan tahniah kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh kerana mewujudkan jawatankuasa ini di peringkat tertinggi kerana kalau kita lihat di pihak MOM sebelum ini, kita sentiasa memohon kepada kementerian supaya melihat kerjasama antara MOM dengan pihak kerajaan dan hari ini ia sudah terbukti. "Seperti saya selaku katakan, setiap kali kita ada perubahan polisi atau perubahan kepimpinan di peringkat kerajaan, ia semacam memberi impak kepada perancangan kita untuk tempoh jangka masa sederhana dan panjang.

"Sebab itu, tindakan untuk menubuhkan jawatankuasa ini yang walaupun contohnya ada perubahan, kita boleh pastikan di peringkat menteri dan MOM tetap ada di situ untuk meneruskan pelaksanaan program ini," katanya ketika sidang media pengumuman jawatankuasa 'Road to Gold' oleh Hannah di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, sebentar tadi.

Norza turut memberi gambaran awal mengenai kriteria pemilihan atlet untuk berada dalam program dengan tempat hampir terjamin buat pemenang pingat Sukan Olimpik sedia iaitu jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasn Awang dan beregu badminton lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Azizulhasni memenangi perak dalam acara keirin manakala Aaron-Wooi Yik meraih gangsa di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Sekarang kita bercakap tentang pemerkasaan di peringkat tertinggi. Kita ada Program Podium dan kita akan pertingkatkan dengan menyenarai pendek atlet kita yang mampu menjadi prospek pingat di Sukan Olimpik.

"Prospek pingat ini kalau kita lihat secara kasar sudah tentu kepada pemenang pingat sedia ada seperti Azizulhasni dan Aaron-Wooi Yik. Selain itu, atlet yang berada dalam kedudukan ranking 10 terbaik dunia iaitu mereka yang mampu sampai di peringkat Sukan Olimpik.

"Namun, walau apa pun kita perkatakan sekarang ia adalah pramatang kerana kita belum melalui proses kelayakan Sukan Olimpik contohnya badminton yang hanya akan bermula pada Mei sehingga April tahun depan," kata Norza.

Jawatankuasa RTG akan dipengerusikan secara bersama oleh Hannah dan Norza dengan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam sebagai penyelarasan projek.

'Road to Gold' akan memberi tumpuan kepada program persediaan meliputi latihan harian, penyediaan khidmat jurulatih, kakitangan sokongan, perkhidmatan sains sukan dan perubatan serta program bina diri dalam misi menjelmakan kilauan emas di Sukan Olimpik Paris 2024 dan Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 5:14 PM