MOHAMAD Norza  pada sidang media sempena lawatan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh ke Majlis Olimpik Malaysia.
MOHAMAD Norza pada sidang media sempena lawatan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh ke Majlis Olimpik Malaysia.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berharap segala kepincangan membabitkan jaguh perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia diketepikan dan mahu memastikan pemain badminton profesional tetap berada dalam projek Road to Gold' (RtG).

Menurut Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria , keputusan sama ada Zii Jia kembali menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas meninggalkan badan induk itu pada awal tahun lalu tidak akan dibincangkan.

"Sama ada Zii Jia kembali sertai BAM ataupun tidak, keputusan saya dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh adalah tetap bahawa dia (Zii Jia) perlu berada dalam program Road to Gold," katanya dalam sidang media sempena lawatan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ke Wisma MOM hari ini.

Ujar Norza, pihaknya enggan campur tangan soal masalah peribadi kerana negara ketika ini mempunyai misi lebih besar iaitu memburu pingat emas pertama pada temasya empat tahun sekali itu yang membuka tirai pada 26 Julai hingga 11 Ogos 2024.

"Apa saja bantuan untuk dirinya terutama dari segi latihan dan kejurulatihan serta keperluan lain, kita akan bagi sokongan sepenuhnya berpandukan terma dan kriteria ditetapkan dalam RtG.

"Ketika ini, kita tak ada masa yang panjang, (Olimpik) Paris sudah semakin hampir. Saya kurangkan sedikit dalam spekulasi. Saya fikir kita hanya nak fokus daripada sudut RtG itu, kerana tak ada gunanya kalau kita semua pihak ada isu masing-masing dan isu ini tak boleh diselesaikan dalam sebulan atau setahun," katanya.

Tambah Norza, mereka hendak pastikan atlet dalam senarai itu (membabitkan) memperoleh segala keperluan dalam (proses) kelayakan dan Olimpik.

Spekulasi mengenai 'sirih pulang ke gagang' semakin hangat diperkatakan selepas Norza turut memuat naik gambar beliau bertemu juara Seluruh England 2021 itu beberapa kali di laman Instagramnya, baru-baru ini.

Begitupun, Norza menjelaskan kepada media semalam bahawa pertemuan dengan pemain nombor empat dunia berkenaan adalah secara kebetulan dan tidak dirancang sama sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 5:23 PM