HANNAH bersama atlet negara pada majlis menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen  Sukan Sea 2023 di Bukit Jalil.  FOTO Arkib NSTP
HANNAH bersama atlet negara pada majlis menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen Sukan Sea 2023 di Bukit Jalil. FOTO Arkib NSTP
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Arena sukan negara untuk 2023 boleh dikategorikan sebagai 'memuaskan', tidak terlalu cemerlang dan bukannya sangat teruk selepas atlet negara mengharungi pelbagai kejohanan mahu pun temasya.

Prestasi atlet negara daripada semua jenis sukan diukur pada dua temasya besar iaitu Sukan Sea Kemboja dan Sukan Asia Hangzhou serta beberapa lagi kejohanan lain seperti kelayakan Piala Dunia/Piala Asia, Kejohanan Dunia, Piala Sudirman (badminton) dan saingan peringkat benua.

MOHAMAD Norza. FOTO Arkib NSTP
MOHAMAD Norza. FOTO Arkib NSTP

Bagi Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, secara keseluruhan prestasi atlet negara bagi tahun ini boleh dikategorikan sebagai memuaskan dengan peningkatan ketara beberapa sukan termasuk bola sepak dan skuasy.

"Sukan lain boleh dikatakan masih mengambil masa kerana kita baru sahaja keluar daripada pandemik Covid-19 tahun lalu, jadi 2023 ini baru hendak bermula semula," katanya yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Ujar Norza, 2023 turut dijadikan sebagai petak permulaan buat Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang melakukan pelbagai perubahan kepada sukan untuk membawa ke arah lebih positif.

SKUAD bola sepak negara antara yang mencatat prestasi memberangsangkan. FOTO Arkib NSTP
SKUAD bola sepak negara antara yang mencatat prestasi memberangsangkan. FOTO Arkib NSTP

"Antara contoh pendekatan positif dilakukan Hannah adalah mengiktiraf sukan tempur sebagai aktiviti sukan di sekolah dan bukannya badan beruniform seperti sebelum ini," katanya.

Jun lalu, sukan tempur seperti taekwondo dan wushu diklasifikasikan sebagai aktiviti sukan dan klasifikasi itu bagi memastikan atlet sukan tempur di sekolah mendapat pengiktirafan setara dengan sukan lain selaras dengan Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).

PEMAIN skuasy negara, S Sivasangari memenangi dua pingat emas pada temasya Sukan Asia di Hangzhou. FOTO Arkib NSTP
PEMAIN skuasy negara, S Sivasangari memenangi dua pingat emas pada temasya Sukan Asia di Hangzhou. FOTO Arkib NSTP

Bagi Norza, 2023 adalah musim sibuk buat atlet negara berlumba mendapatkan tempat di Sukan Olimpik Paris 2024 dan dari situlah muncul muka baru serta atlet muda, contohnya bagi sukan terjun dan renang.

Setakat 17 Disember lalu, lima atlet negara sudah mengesahkan tempat ke temasya terbesar dunia itu tahun depan termasuk pemanah muda negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi; penerjun lelaki, Bertrand Rhodict Lises dan atlet berbasikal wanita negara, Nur Aisyah Zubir.

Dua lagi atlet adalah mereka yang pernah beraksi di Olimpik sebelum ini iaitu Nur Shazrin Mohamad Latif dari sukan pelayaran dan penembak negara, Johnathan Wong.

NUR Shazrin antara yang sudah menempah nama ke Sukan Olimpik Paris. FOTO Arkib NSTP
NUR Shazrin antara yang sudah menempah nama ke Sukan Olimpik Paris. FOTO Arkib NSTP

"Kesimpulannya memuaskan dan berharap 2023 adalah titik tolak untuk melengkapkan proses persediaan kita ke Paris 2024.

"Harapan saya tahun depan sukan negara kita terus cemerlang selepas Hannah dikekalkan sebagai menteri dan mampu untuk kita merealisasikan impian meraih emas sulung Olimpik menerusi Road to Gold (RTG).

"Kita mengharapkan pasukan bola sepak berjaya di Piala Asia, kontinjen negara di Olimpik dengan kehadiran pelumba berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom bersama penerjun, pemanah mampu menggalas cabaran di Paris. Tidak ada sesuatu yang mustahil jika kita terus tingkat usaha," katanya.

AZIZULHASNI (kiri) dan Shah Firdaus antara barisan atlet negara layak ke Sukan Olimpik Paris. FOTO Arkib NSTP
AZIZULHASNI (kiri) dan Shah Firdaus antara barisan atlet negara layak ke Sukan Olimpik Paris. FOTO Arkib NSTP

Pada masa sama, Norza mengharapkan kerajaan terus memberi sokongan kepada sukan negara dengan merangsang pihak swasta untuk turut serta membantu daripada pelbagai aspek.

Menyentuh mengenai sukan badminton, Norza mengakui secara keseluruhan ada peningkatan ketara terutama membabitkan beregu campuran, Chen Teng Jie-Toh Ee Wei yang mara sehingga ke Jelajah Dunia Akhir BWF disebabkan aksi konsisten sepanjang musim.

"Kedua, kita lihat pasangan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus menjadi harapan dan seperti tulang belakang dengan mereka berjaya merangkul kejuaraan jelajah dunia buat kali pertama di Terbuka Denmark.

"Peningkatan dapat dilihat melalui perseorangan lelaki, Ng Tze Yong yang boleh dikatakan sebagai 'pembunuh gergasi'," katanya.

PASANGAN beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya merangkul kejuaraan jelajah dunia buat kali pertama di Terbuka Denmark. FOTO Arkib NSTP
PASANGAN beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya merangkul kejuaraan jelajah dunia buat kali pertama di Terbuka Denmark. FOTO Arkib NSTP

Tze Yong mengharungi aksi sehingga ke peringkat suku akhir di tujuh kejohanan, mara ke separuh akhir dua kali dan bergelar naib juara di Terbuka Artik.

"Kita agak sedih, contohnya Pearly Tan sering dihantui masalah kecederaan, sedangkan dia bergandingan dengan baik bersama M Thinaah untuk beregu wanita.

"Pasangan beregu lelaki, Choong Hon Jian-Haikal Nazri pula menunjukkan peningkatan di hujung musim walaupun baru sahaja digandingkan dengan memenangi dua kejohanan berturut-turut di India.

"Ini menunjukkan sistem pelapis ada peningkatan dan membuahkan hasil. Bagaimanapun, kita masih tercari-cari jaguh untuk beregu wanita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 7:15 AM