Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Satu-satunya atlet terjun negara yang layak ke Sukan Olimpik Paris 2024, Bertrand Rhodict Lises, boleh menghela nafas lega sekiranya dia disenaraikan dalam Program Road to Gold (RTG).

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, penyenaraian penerjun berusia 19 tahun itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Program RTG yang akan berlangsung, hujung bulan ini.

"Ada dua kriteria untuk Program RTG. Pertama, atlet berada dalam kedudukan 10 terbaik dunia dan yang kedua adalah pemenang pingat Olimpik yang lepas," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Cabaran Lompat Tinggi 'Leap To The Stars' 2024 semalam.

Ujar Hannah, langkah pertama untuk seseorang atlet itu disenaraikan dalam program berkenaan ialah perlu layak ke Sukan Olimpik terlebih dahulu.

"Walaupun Rhodict tiada dalam Program RTG tetapi dia adalah atlet program Podium. Semua atlet Podium juga memang akan diberikan sokongan penuh ke Sukan Olimpik Paris.

"Apa pun, kita akan bincangkan (sama ada Rhodict layak disenaraikan dalam Program RTG) dalam mesyuarat bulan ini," kata Hannah.

Rhodict menjadi penerjun tunggal negara berjaya menempah tiket ke Sukan Olimpik Paris menerusi acara 10 meter platform individu.

Jawatankuasa Program RTG sebelum ini hanya menyenaraikan dua penerjun wanita, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri sejak ia mula dilancarkan pada Mac tahun lalu.

Bagaimanapun, Pandelela dan Nur Dhabitah gagal melayakkan diri ke Paris selepas prestasi mengecewakan pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar yang menjadi peluang terakhir merebut tiket ke temasya berkenaan.

Dalam pada itu, Hannah berharap barisan pemain badminton negara yang berada dalam Program RTG berjuang habis-habisan bagi melayakkan diri ke Paris.

"Apa yang saya nak sekarang adalah atlet badminton teruskan usaha untuk pastikan yang berada dalam RTG layak ke Sukan Olimpik Paris.

"Pusingan kelayakan masih berjalan, saya nak mereka bersungguh-sungguh mendapatkan slot ke Paris," katanya.

Seramai sembilan pemain badminton ketika ini berada dalam Program RTG iaitu Ng Tze Yong, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, Pearly Tan-M Thinaah dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Hannah yang juga pengerusi bersama Jawatankuasa RTG turut memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah meluluskan bajet sebanyak RM20 juta untuk program berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 2:12 PM