FAIRUL  Nizam Roslan (tengah baju biru) di Program Aktif@Sukan Luar Bandar 2022 Peringkat Negeri Melaka di Padang Awam Desa Mesra Perdana Bukit Sedanan, hari ini. FOTO Nazri Abu Bakar
FAIRUL Nizam Roslan (tengah baju biru) di Program Aktif@Sukan Luar Bandar 2022 Peringkat Negeri Melaka di Padang Awam Desa Mesra Perdana Bukit Sedanan, hari ini. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: Pelbagai acara sukan dianjurkan sempena Program Aktif@Sukan Luar Bandar 2022 Peringkat Negeri Melaka di Padang Awam Desa Mesra Perdana Bukit Sedanan, hari ini.

Antaranya pertandingan bola sepak, bola jaring, memanah, 1,000 Liga, senamrobik, program 10,000 langkah, sukan rakyat pertandingan hiasan rumah dan tarik tali yang disertai lebih 500 peserta.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, kerajaan negeri menggalakkan lebih banyak penganjuran sukan luar bandar dalam usaha mempromosikan kawasan pelancongan di lokaliti selain mendorong komuniti untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

Katanya, sokongan padu pelbagai pihak serta kerjasama yang menyeluruh dari masyarakat setempat dan sekitarnya amat membanggakan dalam menyemai gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan komuniti bersasar ini.

"Program ini juga dapat membantu mempromosi destinasi luar bandar sebagai kawasan pelancongan sukan menggunakan fasiliti sedia ada selain menyemarakkan pembentukan bakat baharu yang berpontensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

"Malah peranan besar Kementerian Belia dan Sukan melalui duta mereka iaitu Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka di negeri berkenaan dalam menyediakan pelbagai alternatif menggalakkan komuniti mengamalkan aktiviti sukan dan kecergasan menuju negara bersukan atau Towards Sporting Nation yang jelas mengukuhkan perpaduan dan silaturahim semua pihak yang terbabit," katanya dalam ucapan merasmikan Program Aktif@Sukan Luar Bandar 2022 Peringkat Negeri Melaka di Padang Awam Desa Mesra Perdana Bukit Sedanan, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Fairul Nizam Roslan yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka, Khairul Adri Datuk Rosli.

Sulaiman berkata, program Aktif @ Sukan Luar Bandar bertujuan memupuk minat dan menarik penyertaan peringkat akar umbi ke arah memasyarakatkan sukan dalam merealisasikan hasrat Malaysia sebuah negara sukan (sporting nation) termasuk menerusi pembabitan belia di luar bandar.

Malah ia secara tidak langsung memberikan impak kepada komuniti luar bandar dalam pembangunan sosial, kesihatan dan pelbagai aspek yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 9:55 PM