MOHD Rafiq mengharapkan semua penggiat sukan di Negeri Melaka sentiasa menjaga diri, kekal sihat dan aktif mengikut garis panduan standard (SOP). FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
MOHD Rafiq mengharapkan semua penggiat sukan di Negeri Melaka sentiasa menjaga diri, kekal sihat dan aktif mengikut garis panduan standard (SOP). FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Nazri Abu Bakar

Melaka: Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2020 Peringkat Negeri Melaka yang di jadualkan diadakan pada bulan ini akan ditangguh ke satu tarikh lain yang akan dimaklumkan kelak.

Exco NGO, Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, keputusan berkenaan susulan keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang mengambil ketetapan untuk menangguhkan HSN 2020 yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 10 Oktober 2020.

Menurutnya, kesemua agensi-agensi kerajaan, sekolah-sekolah, mahupun persatuan-persatuan, NGO dan komuniti sukan di Negeri Melaka yang bercadang untuk menganjurkan sambutan bersama bagi merancakkan peringkat negeri juga disaran untuk mengambil langkah yang sama.

Katanya, keputusan penangguhan HSN 2020 ini dibuat setelah mengambil kira situasi peningkatan jumlah kes Covid-19 baru-baru ini dan sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan risiko penyebaran pandemik dalam memulihara kesejahteraan dan keselamatan semua pihak.

"Adalah diharapkan agar semua penggiat sukan di Negeri Melaka sentiasa menjaga diri, kekal sihat dan aktif mengikut garis panduan standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan peraturan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Semoga rakyat Malaysia dan Melaka diberi kesihatan dan keselamatan serta terlindung daripada dijangkiti wabak Covid-19 ini," katanya.

Sementara itu, pemimpin sukan menyambut baik langkah KBS dan langkah kerajaan negeri berkenaan dalam memastikan rantaian wabak terbabit dapat di putuskan.

Naib Presiden Satu (1) , Persatuan Berbasikal Negeri Melaka (PBNM), Menhat Abd Rahman berkata, langkah penangguhan berkenaan keputusan tepat dan wajar berdasarkan situasi semasa berkaitan pandemik berkenaan.

Beliau berkata, bagi pihak PBNM memuji pendekatan berkenaan yang boleh meredakan kebimbangan komuniti masyarakat yang turut mengharapkan wabak terbabit berjaya disekat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 2:17 PM