TUGAS berat menanti Izzah di Kejohanan Dunia. FOTO ASWADI ALIAS
TUGAS berat menanti Izzah di Kejohanan Dunia. FOTO ASWADI ALIAS
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mampukah atlet gimrama negara Izzah Amzan menyinar dalam Kejohanan Gimnastik Berirama Dunia ke-39 di Sofia, Bulgaria, bulan depan?.

Di atas kertas, sukar bagi Izzah untuk merealisasikan matlamat itu walaupun berjaya merangkul pingat gangsa dalam disiplin belantan di temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 baru-baru ini.

Tidak seperti di Birmingham, tugas berat menanti Izzah kerana cabaran di Bulgaria jauh lebih besar daripada temasya yang dianjurkan empat tahun sekali itu selepas beberapa atlet gimnas bertaraf dunia dijadual mengambil bahagian dalam kejohanan itu seperti tuan rumah, Uzbekistan, Kazakhstan dan Jepun.

Bagaimanapun, atlet baharu gimrama negara, Ng Joe Ee, menegaskan dia berkeyakinan Izzah bakal menyerlah di Sofia.

"Saya percaya Izzah akan berjaya di Bulgaria," katanya kepada Bernama.

Joe Ee, yang mencuri tumpuan selepas meraih dua emas - disiplin bola dan reben dalam Sukan Komanwel Birmingham 2022 tidak kecewa tidak dapat membuktikan kehebatannya di Bulgaria.

Atlet berusia 16 tahun itu menjelaskan alasan dia tidak dapat bersaing di kejohanan dunia itu berikutan terpaksa memberi tumpuan penuh bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Mac tahun depan.

Ditanya mengenai kejohanan seterusnya, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Titiwangsa itu memberitahu bahawa beliau akan mengambil bahagian dalam Sukan Asia di Hangzhou, China tahun depan.

"Saya hanya berharap dapat mara ke acara final di Sukan Asia," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) Afrita Ariany Nasril berharap Izzah berjaya memperbaiki kedudukannya dan tersenarai antara 50 terbaik di Bulgaria.

Atlet berusia 21 tahun itu berada di kedudukan ke-67 ketika kemunculan pertama pada edisi 2018 dan setahun kemudian dapat memperbaiki kedudukan di tangga ke-57.

Selepas menggantikan jurulatih warga Rusia di Birmingham, Afrita berkata besar kemungkinan beliau akan meneruskan peranan selaku jurulatih di Bulgaria.

Bekas gimnas negara itu berkata kedua-dua jurulatih itu mungkin tidak dapat mengiringi Izzah di Sofia berikutan masalah visa.

Sebelum ini, dua jurulatih gimnastik berirama Rusia dilarang memasuki United Kingdom (UK) untuk Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Kedua-dua jurulatih itu dipercayai terkena tempias akibat sekatan kemasukan yang dikenakan kerajaan UK ke atas rakyat Rusia berikutan konflik Rusia-Ukraine.

Oleh itu, kem gimnastik Malaysia tidak mempunyai pilihan selain menerbangkan Afrita dan jurulatih tempatan Lim Win Chean ke Birmingham untuk melatih dan menguruskan atlet gimrama negara semasa di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 5:25 PM